Semakan semula ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit dewasa yang dimasukkan ke hospital untuk meningkatkan kesihatan pesakit

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Ulasan sistematik Cochrane yang dikemas kini ini mengkaji bukti untuk melakukan semakan ubat di hospital (ditakrifkan sebagai penilaian semula sistematik oleh profesional penjagaan kesihatan terhadap ubat pesakit individu dengan cadangan untuk penambahbaikan). Kami ingin menilai sama ada semakan ubat boleh meningkatkan kesihatan pesakit dewasa.

Latar belakang

Pesakit warga emas selalu diberi beberapa ubat walaupun secara amnya berisiko lebih tinggi untuk kejadian buruk dan kadangkala kurang keberkesanan rawatan dalam populasi ini.

Tarikh pencarian

Untuk mencari kajian yang berkaitan, kami mencari pangkalan data elektronik penulisan perubatan sehingga Mei 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 10 kajian rawak terkawal dengan sejumlah 3575 peserta.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa semakan ubat tidak mencegah kematian dan kemasukan semula ke hospital, tetapi ia mungkin mengurangkan penghantaran ke jabatan kecemasan.

Kepastian bukti

Keyakinan kami terhadap hasil daripada kajian-kajian berkisar dari rendah hingga tinggi. Kami tidak menemui bukti bahawa semakan ubat untuk pesakit dimasukkan ke hospital membuat perbezaan pada pencegahan kematian (bukti berkepastian rendah) atau kemasukan semula ke hospital (bukti berkepastian tinggi), tetapi kami mendapati bahawa semakan ubat mungkin mempunyai kesan pencegahan untuk mengurangkan bilangan penghantaran ke jabatan kecemasan (bukti berkepastian rendah). Dalam kajian yang dirangkumkan, peserta dipantau untuk masa yang singkat (antara 30 hari hingga satu tahun). Oleh itu, kesan rawatan jangka panjang yang penting mungkin tidak ditemui. Kami mencadangkan agar penyelidikan lanjut dengan susulan pesakit jangka panjang dan pemeriksaan kaedah khusus semakan ubat harus dilakukan sebelum intervensi ini dilaksanakan dalam amalan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my