Ujian pemeriksaan sisi katil untuk mengesan dengan lebih awal semua pesakit dewasa yang mungkin berisiko menghadapi kesukaran untuk diintubasi.

Ulasan soalan

Kami mencari Ujian Saringan yang sesuai, cepat dan tepat untuk mengenalpasti pesakit yang mungkin menghadapi kesukaran untuk diintubasi(memasukkan tiub pernafsan ke dalam rongga pernafasan) dalam kalangan orang dewasa yang tiada masalah saluran pernafasan yang ketara.

Latar belakang

Intubasi dilakukan bagi memastikan saluran pernafasan pesakit tetap terbuka ketika pesakit sedang ditidurkan, dibius atau tidak sedarkan diri, supaya pernafasan mereka boleh dikawal meggunakan mesin bantuan pernafasan mekanikal dan seterusnya dapat memastikan tahap oksigen yang sesuai dapat diberikan pada pesakit ketika pembedahan, selepas pembedahan utama, ketika sakit yang kritikal atau selepas jantung terhenti. Saluran udara yang sukar untuk diintubasi boleh mengancam nyawa seseorang.

Dalam memasukkan tiub pernafsan, laryngoscopy (memasukkan kamera kecil untuk melihat saluran untuk memasukkan tiub pernafasan) akan dilakukan terlebih dahulu. Ini memerlukan tahap kemahiran yang tinggi dan selalunya tiada masalah ketika dilaksanakan. Sekitar 10% pesakit menghadapi kesukaran untuk diintubasi. Mereka memerlukan peralatan khas dan langkah lebih berjaga-jaga juga diambil. Terdapat beberapa ciri fizikal yang menyebabkan kesukaran pernafsan dan kegagalan diintubasi. Oleh itu, amaran tentang kesukaran pada saluran pernafsan sangat membantu. Beberapa ujian sisi katil adalah satu cara untuk mengenalpasti pesakit yang berisiko tinggi untuk mempunyai salur pernafasan yang sukar diuruskan. Namun, ianya tidak jelas sama ada tepat ataupun tidak.

Populasi

Kami telah melibatkan orang dewasa yang berumur 16 tahun atau lebih yang tiada masalah saluran pernafasan yang ketara untuk menerima intubasi biasa.

Ujian di bawah penyiasatan

Kami menilai tujuh ujian sisi katil yang paling biasa digunakan secara rutin untuk mengesan masalah saluran pernafasan yang sukar untuk diuruskan. Ujian-ujian ini mengambil masa hanya beberapa saat untuk diselesaikan tanpa memerlukan peralatan khas.

Ujian indeks (ujian diagnostik) termasuk:

-ujian Mallampati (ujian yang asal atau yang diubahsuai; pesakit akan diminta duduk dan membuka mulutnya serta mengunjurkan lidahnya sejauh mungkin sehingga ruang saluran pernafasan boleh dilihat);

-Skor risiko Wilson (termasuk butiran berat pesakit, kepala dan serta gigi yang tertonjol (buck teeth);

- jarak thyromental (panjang antara dagu dengan bahagian bucu atas halkum(Adam’s apple);

-jarak sternomental (panjang antara dagu dengan lekuk antara dua tulang kolar);

-ujian pembukaan mulut;

-ujian gigitan bibir atas;

-atau mana-mana kombinasi ujian-ujian ini.

Tarikh carian

Bukti terkini yang diambil adalah sehingga 16 Disember 2016. (Kami telah mencari kajian baru pada bulan Mac 2018, tapi belum ada kajian yang terbaru dimasukkan)

Ciri-ciri kajian

Kami telah menyertakan 133 kajian dengan 844,206 peserta bagi menyiasat ketepatan tujuh ujian di atas disamping 69 untuk ujian biasa dan 32 kombinasi ujian untuk mengesan saluran pernafasan yang sukar diuruskan

Hasil-hasil utama

Bagi yang sukar untuk melalui prosedur laryngoscopy, purata sensitiviti (peratusan yang dikenal pasti mempunyai kesukaran saluran pernafasan) adalah antara 22% (ujian pembukaan mulut) dan 63% (ujian gigitan bibir atas). Purata spesifisiti (peratusan pesakit yang mempunyai kesukaran saluran pernafasan diklasifikasi dengan betul) antara 80% (ujian Mallampati yang diubahsuai) kepada 95% (skor risiko Wilson). Ujian gigitan atas bibir mempunyai sensitiviti tertinggi dalam kalangan ujian-ujian yang dipertimbangkan.

Dalam memasang tiub pernafasan yang sukar, purata sensitiviti antara 24% (jarak thyromental) dan 51% (ujian Mallampati yangdiubahsuai). Manakala purata spesifisiti adalah antrara 87% (percubaan Mallampati diubahsuai) dan 93% (ujian pembukaan mulut). Ujian Mallampati yang diubahsuai mempunyai sensitiviti tertinggi dalam kalangan semua ujian yang dipertimbangkan.

Untuk pemasangan topeng bantuan pernafasan yang sukar (antara tanda-tanda lain saluran pernafsan yang sukar), data yang ada hanya mencukupi untuk mengira sensitiviti pada purata 17% dan spesifisiti pada kadar 90% untuk ujian Mallampati diubahsuai.

Kualiti bukti kajian

Secara keseluruhannya, kualiti bukti kajian adalah pada tahap sederhana dan tinggi. Besar kemungkinan kajian ini mampu untuk memberikan hasil yang boleh dipercayai walaupun ada sesetengah doktor yang melakukan intubasi sudah tahu keputusannya sebelum melakukan ujian pengesanan. Ini dilihat juga mampu mempengaruhi hasil kajian. Namun, perkara ini adalah situasi biasa dalam rutin penjagaan pesakit. Ciri-ciri pesakit, ujian dan keadaan pesakit adalah hampir sama dengan mereka berada dalam persekitaran klinikal biasa. Keputusan kajian ini hendaklah diguna pakai di seluruh dunia dalam melaraskan penilaian saluran udara dalam kalangan pesakit yang kelihatan normal.

Kesimpulan

Ujian Saringan sisi katil yang digunakan dalam kajian ini tidak sesuai untuk digunakan dalam mengenalpasti saluran pernafasan yang sukar diurus. Ini kerana, cara ini telah menyebabkan ramai pesakit yang mempunyai saluran pernafasan yang sukar diurus tidak dapat dikesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com. DIsunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information