Penggunaan komputer untuk pengurusan diri diabetes jenis 2

Diabetes adalah salah satu keadaan perubatan jangka panjang yang paling lazim, menjejaskan sekitar 347 juta orang dewasa di seluruh dunia. Kira-kira 90% daripadanya menghidap diabetes jenis 2 dan berisiko besar untuk mengalami komplikasi berkaitan diabetes seperti angin ahmar atau serangan jantung. Program pendidikan pesakit boleh mengurangkan risiko komplikasi berkaitan diabetes, tetapi banyak orang dengan diabetes jenis 2 tidak pernah menghadiri program pendidikan berstruktur untuk mempelajari cara untuk menjaga diri mereka sendiri (pengurusan diri). Penggunaan komputer yang lebih baik mungkin satu cara untuk membantu lebih banyak orang belajar mengenai pengurusan diri.

Kami mengenal pasti 16 kajian melibatkan 3578 orang dewasa yang memenuhi kriteria kami. Kajian-kajian ini menyertakan intervensi berlainan jenis yang digunakan di tempat yang berbeza seperti komputer skrin sentuh di klinik hospital, komputer yang dihubungkan ke internet di rumah dan program yang dihubungkan dengan telefon bimbit. Purata umur orang yang mengambil bahagian adalah antara 46 hingga 67 tahun dan kebanyakannya menghidap diabetes selama 6 hingga 13 tahun. Peserta diberi akses kepada intervensi selama 1 hingga 12 bulan, bergantung kepada intervensi. Tiga daripada 3578 peserta mati tetapi kematian ini tidak berkaitan dengan kajian.

Keseluruhannya, terdapat bukti bahawa program komputer mempunyai kesan manfaat yang kecil terhadap kawalan gula dalam darah - anggaran penambah baikan hemoglobin A1c glikosilasi (HbA1c - ukuran kawalan metabolik jangka panjang) adalah 2.3 mmol/mol atau 0.2%. Ini adalah sedikit lebih tinggi apabila kami melihat kepada kajian yang menggunakan telefon bimbit untuk intervensi mereka - anggaran penambah baikan HbA1c adalah 5.5 mmol/mol atau 0.5% dalam kajian yang menggunakan telefon bimbit. Beberapa program tersebut menurunkan kolesterol sedikit. Tiada program membantu penurunan berat badan atau mengatasi kemurungan.

Seorang peserta menarik diri kerana kegelisahan tetapi tidak terdapat kesan-kesan sampingan yang jelas dan episod hipoglisemia tidak dilaporkan dalam sebarang kajian. Terdapat sangat sedikit maklumat mengenai kos atau nilai untuk wang.

Ringkasnya, program komputer sedia ada untuk membantu orang dewasa menguruskan diabetes jenis 2 sendiri kelihatan mempunyai kesan positif yang kecil terhadap kawalan gula dalam darah dan intervensi telefon bimbit kelihatan mempunyai kesan yang lebih besar. Tiada bukti menunjukkan program semasa boleh membantu penurunan berat badan, kemurungan atau meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan tetapi mereka didapati selamat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information