Koenzim Q10 untuk kegagalan jantung

Kegagalan jantung adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan yang terjadi apabila jantung tidak dapat mengekalkan output kardium yang mencukupi atau hanya melakukannya dengan mengisi penuh bilik jantung. Orang yang mengalami kegagalan jantung biasanya mengalami penyakit berulang dan remit, dengan tempoh kestabilan dan episod dekompensasi (kegagalan untuk menangani kerosakan jantung) yang membawa kepada gejala-gejala yang semakin teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Pilihan rawatan untuk kegagalan jantung terdiri daripada ubat sehingga pemindahan jantung, dengan setiap mempunyai kekangannya sendiri. Koenzim Q10 (atau ubiquinone) telah dicadangkan sebagai pilihan rawatan dalam beberapa kajian. Koenzim Q10 adalah suplemen pemakanan bukan preskripsi. Ia adalah molekul larut lemak yang mempunyai peranan dalam pengeluaran tenaga sel-sel badan. Ia juga mungkin mempunyai sifat antioksidan.

Tahap rendah koenzim Q10 mungkin berkaitan dengan keterukan kegagalan jantung. Koenzim Q10 telah ditemui di semua tisu dan organ di dalam badan, dengan kepekatan tertinggi di dalam hati. Data yang baru muncul menunjukkan bahawa kesan berbahaya spesies oksigen reaktif (molekul tidak stabil yang mengandungi oksigen dan mudah bertindak balas dengan molekul lain) meningkat pada orang yang mengalami kegagalan jantung. Disebabkan oleh aktiviti antioksidannya, koenzim Q10 dapat membantu mengurangkan kesan toksik ini, yang merosakkan komponen sel jantung, dan mengganggu isyarat selular. Coenzyme Q10 memainkan peranan penting dalam menghantar isyarat dalam otot jantung dan dalam menjana tenaga. Kepekatan koenzim Q10 berkadar songsang dengan keterukan kegagalan jantung. Suplemen dengan koenzim Q10 boleh memperbaiki kegagalan jantung. Koenzim Q10 kadang-kala digunakan kerana ia dianggap mempunyai profil keselamatan yang boleh diterima dengan kesan sampingan yang tidak ketara.

Penyelidik menjalankan sorotan ini untuk menilai bukti sedia ada mengenai kesan koenzim Q10 dalam pesakit dengan kegagalan jantung. Kami memasukkan 11 kajian rawak terkawal (melilbatkan 1573 orang peserta). Jumlahnya kecil, dan mengikuti peserta untuk jangka waktu yang singkat. Analisis menunjukkan bahawa koenzim Q10 mungkin mengurangkan risiko kematian daripada pelbagai sebab, dan kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung. Ini boleh menyebabkan peningkatan, atau sedikit atau tidak ada perbezaan risiko infarksi miokardium, strok, atau kejadian buruk. Kesan koenzim Q10 pada fungsi jantung dan peningkatan gejala tidak dapat dipastikan.

Bukti terkini hingga Oktober 2020, adalah berkualiti sederhana, kerana risiko bias yang tinggi dalam beberapa kajian terlibat dan tidak adanya dapatan yang tepat dan konsisten. Tiada bukti terkini yang meyakinkan untuk menyokong atau menyangkal penggunaan koenzim Q10 untuk kegagalan jantung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information