Supplemen vitamin A semasa hamil untuk kesihatan ibu dan bayi baru lahir

Apakah isunya?

Vitamin A adalah yang vitamin larut-lemak yang boleh didapati dalam hati, buah pinggang, telur, dan hasil tenusu. Pengambilan diet rendah lemak atau jangkitan usus boleh mengganggu penyerapan vitamin A. Retinoid semulajadi diperlukan untuk pelbagai proses biologi termasuk penglihatan, fungsi imun, metabolisma tulang dan penghasilan darah. Semasa kehamilan, supplemen vitamin A mungkin diperlukan. Pada masa ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi antarabangsa lain mencadangkan pengambilan rutin vitamin A supplemen semasa hamil atau pada bila-bila masa semasa tempoh penyusuan di kawasan endemik kekurangan vitamin A (di mana rabun malam berlaku).

Mengapakah ini penting?

Ia telah dicadangkan bahawa pengambilan vitamin A yang rendah boleh dikaitkan dengan komplikasi semasa hamil seperti kematian ibu atau bayi, peningkatan jangkitan pada ibu atau bayi, tahap zat besi yang rendah pada ibu atau bayi atau mempunyai bayi mengalami komplikasi seperti berikut: kelahiran awal, berat semasa kelahiran rendah atau abnormaliti kongenital.

Apakah bukti yang kami temui?

Ulasan ini mengumpul data daripada 19 kajian yang melibatkan lebih 310,000 wanita. Tujuh kajian telah dijalankan di Afrika, enam di Indonesia, dua di Bangladesh, dan satu di Nepal, China, India, UK dan Amerika Syarikat. Kebanyakkan kajian telah dijalankan di populasi yang dianggarkan mengalami kekurangan vitamin A (kecuali Amerika Syarikat dan UK). Keseluruhan risiko bias adalah rendah kepada tidak jelas bagi kajian tersebut, dan kualiti bukti adalah sederhana kepada tinggi. Penemuan kajian menunjukkan bahawa rutin supplemen dengan vitamin A (sama ada sendiri atau kombinasi dengan suplemen lain) semasa mengandung tidak mengurangkan kematian pada bayi atau wanita. Terdapat bukti yang baik bahawa tambahan vitamin A supplemen pranatal tidak mengurangkan anemia maternal dalam kalangan wanita yang tinggal di kawasan di mana kekurangan vitamin A adalah biasa atau mereka yang positif HIV. Kajian yang diterbitkan setakat ini tidak melaporkan sebarang kesan sampingan atau kesan buruk. Bukti yang ada menunjukkan pengurangan dalam jangkitan maternal tetapi data ini tidak berkualiti tinggi dan kajian lanjut diperlukan untuk mengesah atau menyangkal kenyataan ini.

Apakah maksudnya?

Mengambil supplemen vitamin A semasa hamil tidak membantu mencegah kematian ibu (yang berkaitan dengan kehamilan) atau kematian perinatal atau bayi baru lahir. Mengambil supplemen vitamin A semasa hamil tidak membantu mengelakkan masalah lain yang boleh berlaku seperti kematian bayi semasa lahir, kelahiran awal, berat badan bayi yang rendah atau bayi baru lahir mengalami anemia. Walau bagaimanapun, risiko anemia maternal, jangkitan maternal dan rabun malam maternal dikurangkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi mastura.malek78@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information
Share/Save