Intervensi untuk meningkatkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran pada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak mencukupi adalah dianggap sebagai beban kesihatan yang agak besar di negara-negara maju. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit kronik tidak berjangkit pada masa depan (seperti penyakit kardiovaskular). Usia awal kanak-kanak merupakan tempoh kritikal bagi menyemai tabiat pemakanan. Intervensi untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada usia awal kanak-kanak mungkin merupakan strategi yang berkesan bagi mengurangi bebanan penyakit ini.

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan intervensi yang direka untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran atau kedua-duanya dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Kaedah-kaedah

Penyelidik mencari pelbagai pangkalan data elektronik dan jurnal berkaitan untuk mencari kajian. Penyelidik menghubungi pengarang kajian yang terlibat untuk menambah kajian berpotensi yang berkaitan. Sebarang kajian rawak (peserta mempunyai peluang yang sama untuk diberi rawatan atau kawalan) adalah layak untuk intervensi yang bertujuan untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran atau kedua-duanya oleh kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah bagi mengukur pengambilan tersebut. Dua pengarang ulasan mencari dan mendapatkan maklumat kajian secara berasingan. Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2018.

Keputusan

Penyelidik melibatkan 63 kajian dengan 11,698 orang mengambil bahagian Tiga puluh sembilan kajian memeriksa intervensi latihan pemakanan kanak-kanak (seperti pendedahan sayur-sayuran berulang), 14 meneliti intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa, sembilan meneliti intervensi pelbagai komponen (seperti menggabungkan perubahan dasar prasekolah dengan pendidikan ibu bapa) dan satu mengkaji intervensi pendidikan pemakanan kanak-kanak. Amalan memberi makan kanak-kanak dan intervensi pelbagai komponen boleh menjurus kepada sedikit peningkatan pada pengambilan sayur-sayuran oleh kanak-kanak dalam jangka pendek (kurang daripada 12 bulan). Tidak pasti sama ada intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa berkesan dalam meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada kanak-kanak. Tiada maklumat yang mencukupi untuk menilai keberkesanan jangka panjang, keberkesanan kos dan kemudaratan yang tidak diingini. Kajian-kajian melaporkan penerimaan sokongan pembiayaan dari dana kerajaan atau kebajikan, kecuali dalam empat kajian yang menerima pembiayaan industri.

Kesimpulan

Latihan Intervensi memberi makan kanak-kanak dan intervensi pelbagai komponen boleh meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran oleh kanak-kanak (masing-masing sebanyak 3.50 g dan 0.37 cawan setiap hari). Kesimpulan ini berdasarkan pada kualiti bukti yang sangat rendah dan rendah dan kemungkinan besar akan berubah apabila penilaian dilakukan pada masa hadapan. Tidak pasti sama ada intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa bagi meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kanak-kanak.

Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baru untuk mengulas kemaskini di mana ulasan dikemas kini berterusan, menggabungkan bukti relevan baharu yang tersedia. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Share/Save