Intervensi untuk meningkatkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah

Latar belakang

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak mencukupi dianggap sebagai beban kesihatan yang agak besar di negara-negara maju. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit tidak berjangkit pada masa depan (seperti penyakit jantung dan peredaran darah). Usia awal kanak-kanak merupakan tempoh kritikal bagi menyemai tabiat pemakanan yang menginjak dewasa. Intervensi untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada usia awal kanak-kanak mungkin merupakan strategi berkesan bagi mengurangkan bebanan penyakit ini.

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan intervensi yang direka untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran atau kedua-duanya dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Kaedah-kaedah

Penyelidik mencari pelbagai pangkalan data elektronik dan jurnal berkaitan untuk mencari kajian. Penyelidik menghubungi pengarang kajian yang terlibat untuk menambah kajian berpotensi yang berkaitan. Sebarang kajian rawak (peserta mempunyai peluang yang sama untuk diberi rawatan atau kawalan) adalah layak untuk intervensi yang bertujuan meningkatkan pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran atau kedua-duanya oleh kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah bagi mengukur pengambilan tersebut. Dua pengarang ulasan mencari dan mendapatkan maklumat kajian secara berasingan. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Keputusan

Penyelidik melibatkan 80 kajian dengan 12,965 orang mengambil bahagian. Lima puluh lapan kajian memeriksa intervensi latihan pemakanan kanak-kanak (seperti pendedahan sayur-sayuran berulang), 15 meneliti intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa, 14 meneliti intervensi pelbagai komponen (seperti menggabungkan perubahan dasar prasekolah dengan pendidikan ibu bapa) dua memeriksa intervensi pendidikan pemakanan kanak-kanak dan satu memeriksa intervensi kesedaran kanak-kanak. Intervensi amalan memberi kanak-kanak pemakanan boleh membawa kepada, dan intervensi multikomponen mungkin membawa kepada, peningkatan kecil dalam pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kanak-kanak dalam masa jangka pendek (kurang dari 12 bulan). Tidak pasti sama ada intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa atau kanak sahaja berkesan dalam meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pada kanak-kanak. Tiada maklumat yang mencukupi untuk menilai keberkesanan jangka panjang, keberkesanan kos atau kemudaratan yang tidak diingini. Kajian-kajian melaporkan penerimaan sokongan pembiayaan dari dana kerajaan atau kebajikan, kecuali dalam empat kajian yang menerima pembiayaan industri.

Kesimpulan

Amalan memberi makan anak boleh meningkatkan pengambilan buah dan sayur oleh kanak-kanak (sebanyak 5.30 gram sehari), tetapi kesimpulan ini berdasarkan bukti berkualiti rendah dan keyakinan kita terhadap kesan ini terhad. Itervensi pelbagai komponen mungkin meningkatkan pengambilan buah dan sayur oleh kanak-kanak (sebanyak 0.34 cawan sehari), berdasarkan bukti kualiti sederhana. Tidak pasti sama ada intervensi pendidikan pemakanan ibu bapa bagi meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kanak-kanak.

Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baru untuk pengemaskinian ulasan, di mana ulasan dikemaskini secara berterusan, menggabungkan bukti relevan baru apabila ada. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information