Kesan pemindahan sel darah merah jangka panjang terhadap komplikasi dada kronik bagi penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk melihat sama ada transfusi jangka panjang secara berkala sel darah merah membantu mengurangkan kejadian atau perkembangan komplikasi dada kronik berbanding hidroksikarbamida (hidroksiurea), rawatan lain atau penjagaan piawai pada orang dengan penyakit sel sabit. Ini adalah kemaskini bagi Ulasan Cochrane yang telah diterbitkan sebelum ini.

Latar belakang

Oksigen diangkut dari paru-paru ke seluruh bahagian tubuh kita oleh hemoglobin, yang merupakan komponen utama sel darah merah. Penyakit sel sabit adalah gangguan hemoglobin yang diwarisi. Pada orang dengan penyakit sel sabit sel darah merah menjadi kaku setelah ia melepaskan oksigennya dan sering berbentuk seperti sabit. Sel-sel kaku ini dapat menyekat saluran darah, yang menyebabkan masalah pada seluruh badan, termasuk paru-paru. Dua komplikasi dada yang kronik yang paling biasa disebabkan oleh penyakit sel sabit adalah hipertensi pulmonari dan penyakit paru-paru sabit kronik. Hipertensi pulmonari adalah tekanan darah tinggi pada arteri pulmonari (arteri yang membekalkan darah ke paru-paru). Tekanan darah tinggi pada arteri ini dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian. Penyakit paru-paru sabit kronik timbul akibat kerosakan paru-paru dan kehilangan tisu paru-paru.

Transfusi darah secara berkala bagi orang dengan penyakit sel sabit mengurangkan jumlah sel sabit seseorang dalam darahnya dengan menggantikannya dengan sel-sel bukan sabit, yang didermakan. Transfusi secara berkala telah terbukti dapat mengurangkan risiko strok pada orang dengan penyakit sel sabit. Kami berhasrat untuk mengetahui sama ada transfusi darah jangka panjang secara berkala pada orang dengan penyakit ini membawa kepada pengurangan komplikasi dada kronik yang baru atau memlambatkan perkembangan komplikasi dada kronik yang telah terjadi. Kami juga berhasrat untuk mempertimbangkan kadar kematian disebabkan oleh komplikasi dada kronik dan sebarang kesan buruk dari program transfusi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 19 September 2019. Kami mendapati tiada kajian dalam kemas kini ulasan ini.

Keputusan utama

Tiada keputusan kerana kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal yang berkaitan. Kita perlu mereka satu kajian dengan sekurang-kurangnya 946 peserta supaya dapat mengesan pengurangan dalam orang yang mati dari 12 dalam 100 kepada enam dalam 100.

Kualiti bukti

Tiada bukti dari kajian rawak terkawal untuk menjawab soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save