Penambahan enzim pankreas untuk orang dengan fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang keberkesanan terapi penggantian enzim pankreas (PERT) dalam mengatasi kekurangan enzim dalam kalangan orang dengan fibrosis sista (CF) dan jika terdapat sebarang kesan sampingan.

Latar belakang

Antara 80% dan 90% orang dengan CF mengambil PERT kerana pankreas mereka tidak dapat membuat enzim yang diperlukan untuk mencerna makanan. Akibatnya, kanak-kanak mungkin gagal menambah berat badan dan berkembang; sementara orang dewasa mungkin kehilangan berat badan dan mengalami malnutrisi kerana mereka tidak menyerap vitamin dengan betul. Dalam kalangan orang dengan CF, malnutrisi dikaitkan dengan kesihatan umum yang lebih buruk, penyakit paru-paru yang lebih teruk dan jangka hayat yang lebih pendek. Jika pankreas mereka tidak menghasilkan enzim yang cukup, orang dengan CF juga boleh mengalami pergerakan usus yang menyakitkan, kerap, besar, dan menyinggung. PERT diperlukan untuk membantu menambah berat, mencegah malnutrisi dan mengelakkan kekurangan beberapa vitamin, serta mengawal simptom usus. Ini adalah versi ulasan yang telah dikemas kini.

Tarikh carian

Kali terakhir kami mencari bukti: 26 Disember 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami menilai 14 kajian (641 dewasa dan kanak-kanak dengan CF); 13 kajian memberi rawatan selama empat minggu dan satu kajian selama tujuh minggu. Kajian-kajian membandingkan pelbagai formulasi PERT, ada yang dirawat untuk menangguhkan pengeluaran ubat sehingga ia keluar dari perut ke usus, sementara yang lain tidak. Di dalam 12 kajian peserta mengambil kedua-dua jenis penambahan selama empat minggu, walaupun urutan pengambilannya adalah rawak. Faktor-faktor ini menyukarkan analisis keputusan-keputusan kajian. Kebanyakan kajian adalah lama; kajian terkini adalah dari 2017, tetapi yang paling lama adalah dari 1986.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada sebarang formulasi PERT lebih baik daripada yang lain untuk memperbaik hasil-hasil paling penting (berat, tinggi atau indeks jisim tubuh). Dalam dua kajian (41 peserta) mereka yang mengambil mikrosfera pelepasan tertunda (kapsul ubat mini) mempunyai kurang lemak dalam najis berbanding mereka yang mengambil tablet pelepasan tertunda (saiz normal); mereka juga mengalami kurang sakit perut dan tidak perlu kerap ke tandas. Dalam kajian yang berbeza (12 peserta), mereka yang mengambil mikrosfera pelepasan tertunda juga mempunyai kurang lemak dalam najis berbanding mereka yang mengambil penambahan pelepasan tertunda. Kami juga mendapati dalam kajian yang besar (128 peserta), orang yang mengambil PERT yang tidak dibuat dari enzim haiwan mempunyai sedikit lemak dalam najis berbanding mereka yang mengambil PERT yang dibuat dari enzim khinzir. Kami dapati tiada perbezaan di antara sebarang formulasi PERT yang berbeza untuk sebarang simptom usus lain (seperti sakit perut, kembung, sembelit), kualiti hidup, kesan-kesan sampingan atau untuk sebarang ukuran penyakit paru-paru. Tiada kajian melaporkan bilangan hari di hospital atau kejadian kekurangan vitamin.

Kami tidak menemui sebarang bukti tentang pelbagai tahap dos PERT yang diperlukan untuk orang yang menghasilkan tahap enzim pankreas yang berbeza, masa yang terbaik untuk memulakan rawatan atau amaun penambahan berdasarkan perbezaan jenis makanan yang dimakan dan saiz makanan. Kajian-kajian dengan reka bentuk yang betul diperlukan untuk menjawab soalan-soalan ini.

Kualiti bukti

Kami mendapati kualiti bukti untuk pelbagai hasil adalah sederhana, tetapi kebanyakannya sangat rendah. Kami tidak pasti peserta berpeluang yang sama untuk dimasukkan ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza kerana kajian-kajian tersebut tidak memberi perincian tentang bagaimana keputusan dibuat. Di dalam beberapa kajian sebilangan besar peserta menarik diri dan sebab-sebabnya sering tidak diberikan. Dalam kebanyakan kajian, orang mengambil satu rawatan selama empat minggu dan kemudian menukar kepada rawatan alternatif. Reka bentuk ini bermakna keputusan mungkin dilihat lebih konsisten daripada yang sebenar apabila kami menganalisisnya. Satu-satunya keputusan yang boleh kami gabungkan adalah dari dua kajian. Akhirnya, beberapa kajian tidak melaporkan penemuan mereka sepenuhnya dalam cara yang boleh kami analisis dalam ulasan ini. Kami tidak pasti bagaimana faktor-faktor ini mempengaruhi keyakinan kami dalam keputusan-keputusan yang kami temui.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save