Pendidikan untuk pengurusan keletihan berkaitan kanser

Objektif

Ulasan sistematik ini bertujuan untuk mengetahui sejauh mana intervensi pendidikan berfungsi untuk menguruskan keletihan yang berkaitan dengan kanser.

Keadaan

Keletihan adalah gejala biasa dan bermasalah bagi penghidap kanser yang lebih besar daripada keletihan yang dialami dalam kehidupan seharian. Ia boleh menjadikan pengalaman gejala lain lebih teruk, menjejaskan angin secara negatif, mengganggu keupayaan untuk menjalankan aktiviti harian, dan memberi kesan negatif kepada kualiti hidup.

Intervensi

Pendidikan boleh memberi orang ramai maklumat tentang apa itu keletihan dan cara menguruskannya. Sebagai contoh, menguruskan keletihan mungkin melibatkan penjimatan tenaga sepanjang hari, dan mempelajari tentang faedah senaman, diet, bersantai, dan rutin tidur yang baik. Pendekatan ini boleh membantu orang ramai menguruskan keletihan mereka dan membantu mereka mengatasi kesannya. Pada November 2016 kami menemui 14 kajian menggunakan pendidikan untuk keletihan berkaitan kanser berbanding penjagaan biasa yang diterima orang atau kawalan perhatian seperti memberikan maklumat umum tentang kanser. Kesemua kajian yang disertakan adalah kajian rawak terkawal. Kajian ini dijalankan pada orang dewasa dengan sebarang jenis atau peringkat kanser.

Keputusan

Ulasan mendapati bahawa pendidikan mungkin mempunyai kesan kecil dalam mengurangkan tahap keletihan, gangguannya dalam aktiviti harian atau hubungan, dan keletihan umum (keseluruhan). Ia boleh memberi kesan sederhana untuk mengurangkan penderitaan daripada keletihan di kalangan penghidap kanser bukan lanjutan. Mungkin juga terdapat kesan berfaedah terhadap kebimbangan dan kualiti hidup keseluruhan, walaupun tidak jelas sama ada ia mengurangkan kemurungan. Tidak diketahui sama ada keputusan ini mungkin berbeza antara jenis rawatan kanser atau jika pendidikan diberikan semasa atau selepas rawatan kanser. Tidak cukup yang diketahui tentang jenis pendidikan yang paling berkesan, bila ia terbaik diberikan, atau sama ada ia berkesan untuk penghidap kanser lanjutan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti mengenai keputusan tersebut. Kualiti bukti yang tinggi bermakna kami sangat yakin terhadap keputusan tersebut. Terdapat masalah dengan reka bentuk pada sesetengah kajian, dan sesetengahnya mempunyai saiz yang sangat kecil. Oleh itu, kualiti bukti berbagai-bagai dari sangat rendah hingga sederhana secara keseluruhan dan keputusan kajian ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information