Gabapentin untuk sakit neuropatik kronik dalam golongan dewasa

Kesimpulan

Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa gabapentin yang diambil melalui mulut pada dos 1200 mg setiap hari atau dos yang lebih tinggi mempunyai kesan yang penting terhadap kesakitan dalam golongan yang mengalami sakit neuropatik yang sederhana atau teruk akibat penyakit kayap atau kencing manis (diabetes).

Latar belakang

Sakit neuropatik berasal daripada saraf yang tercedera. Ia berbeza daripada mesej kesakitan yang dibawa oleh saraf yang sihat daripada tisu tercedera (contohnya, daripada jatuh, luka atau sakit sendi lutut). Sakit neuropatik sering dirawat dengan ubat-ubatan yang berlainan daripada ubat-ubatan yang digunakan untuk sakit daripada tisu yang tercedera, yang kita sentiasa anggap sebagai ubat penahan sakit. Ubat-ubatan yang kadang-kala digunakan untuk merawat kemurungan atau epilepsi boleh berkesan bagi sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik. Antaranya termasuk gabapentin. Definisi kami tentang kesan yang bagus merujuk kepada seseorang yang mencapai tahap peringanan kesakitan yang tinggi dan mampu mengambil ubat yang berkenaan tanpa kesan-kesan sampingan yang menyebabkan pemberhentian pengambilan ubat.

Ciri-ciri kajian

Pada Januari 2017 kami mencari kajian-kajian klinikal di mana gabapentin digunakan untuk merawat sakit neuropatik dalam kalangan golongan dewasa. Kami menemui 37 kajian yang memenuhi syarat kemasukan di mana 5914 orang peserta diberikan rawatan dengan gabapentin, plasebo atau ubat yang lain-lain secara rawak. Kajian-kajian berlangsung selama 4 hingga 12 minggu. Kebanyakan kajian melaporkan hasilan berfaedah yang dianggap penting oleh orang ramai yang mengalami sakit neuropatik. Hasilan yang utama adalah bagi sakit selepas penyakit kayap dan sakit akibat kecederaan saraf dalam diabetes.

Hasilan utama

Bagi sakit selepas penyakit kayap, 3 daripada 10 orang mengalami pengurangan sakit sebanyak separuh atau lebih dengan gabapentin berbanding dengan 2 daripada 10 orang dengan plasebo. Sakit dikurangkan sebanyak satu per tiga atau lebih bagi 5 daripada 10 orang dengan gabapentin dan 3 daripada 10 orang dengan plasebo. Bagi sakit yang disebabkan oleh diabetes, 4 daripada 10 orang mengalami pengurangan sakit sebanyak separuh atau lebih dengan gabapentin dan 2 daripada 10 orang dengan plasebo. Sakit dikurangkan sebanyak satu per tiga atau lebih bagi 5 daripada 10 orang dengan gabapentin dan 4 daripada 10 orang dengan plasebo. Tiada bukti yang boleh dipercayai bagi jenis sakit neuropatik yang lain.

Kesan-kesan sampingan adalah lebih kerap dengan gabapentin (6 daripada 10) berbanding dengan plasebo (5 daripada 10). Pening, mengantuk, pengekalan air dan masalah berjalan berlaku dalam kira-kira 1 daripada 10 orang yang mengambil gabapentin. Kesan-kesan sampingan yang serius adalah luar biasa dan tidak berbeza antara gabapentin dengan plasebo. Sedikit lebih banyak orang yang mengambil gabapentin berhenti mengambil gabapentin oleh sebab kesan-kesan sampingannya.

Gabapentin adalah berfaedah bagi sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik kronik. Kami tidak mungkin tahu dengan lebih awal tentang siapa yang akan mendapat manfaat daripada gabapentin dan siapa yang tidak akan mendapat manfaat. Pengetahuan setakat ini bercadang bahawa sebuah kajian singkat merupakan cara yang terbaik untuk menentukan kesesuaian gabapentin dalam kalangan pesakit.

Kualiti bukti

Kebanyakan bukti adalah berkualiti sederhana. Ini bermakna bahawa penyelidikan memberikan petunjuk yang baik tentang kemungkinan kesan gabapentin. Kemungkinan bahawa kesan gabapentin akan berbeza secara ketara adalah sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information