Pengurusan kes yang intensif untuk orang yang mempunyai penyakit mental yang teruk

Latar belakang

Penyakit mental yang teruk ditakrifkan melalui diagnosis, tahap kecacatan dan kehadiran beberapa tingkah laku yang tidak normal. Termasuk skizofrenia dan psikosis, masalah mood yang teruk, dan gangguan personaliti, penyakit mental yang teruk boleh menyebabkan kesusahan yang agak besar dalam tempoh masa yang panjang untuk orang yang terlibat, keluarga dan rakan-rakannya.

Sehingga tahun 1970-an, ia adalah perkara biasa bagi mereka yang mengidap penyakit ini untuk berada di institusi bagi sebahagian besar kehidupan mereka, tetapi di kebanyakan negara di dunia, mereka kini diuruskan dalam masyarakat dengan menggunakan salah satu daripada beberapa jenis intervensi yang berbeza. Pengurusan kes intensif (ICM) adalah salah satu daripada intervensi tersebut. Ia terdiri daripada pengurusan masalah kesihatan mental dan keperluan pemulihan dan sokongan sosial kepada mereka yang terlibat, dalam tempoh masa yang tidak terhad, oleh sekumpulan orang yang mempunyai kumpulan pelanggan yang agak kecil (kurang daripada 20). Bantuan dua puluh empat jam adalah ditawarkan dan pelanggan diawasi dalam persekitaran bukan klinikal.

Tujuan ulasan

Untuk mencari dan membentangkan bukti kualiti yang baik mengenai keberkesanan ICM berbanding dengan bukan-ICM (di mana individu yang menerima pakej penjagaan yang sama, tetapi profesional mempunyai beban kerja lebih daripada 20 orang) dan penjagaan piawai (di mana individu dilihat sebagai pesakit luar, tetapi keperluan sokongan mereka kurang ditakrifkan dengan jelas) bagi individu yang mempunyai penyakit mental yang teruk.

Carian bukti

Kami menjalankan carian elektronik untuk kajian terkawal rawak membandingkan ICM dengan bukan-ICM atau penjagaan piawai dalam 2009, 2012, dan 2015.

Keputusan

Kami memasukkan 40 kajian melibatkan 7524 kanak-kanak. Kajian-kajian ini berlangsung di Australia, Kanada, United Kingdom dan USA. Apabila ICM dibandingkan dengan penjagaan piawai, mereka yang berada dalam kumpulan ICM lebih cenderung untuk meneruskan perkhidmatan terbabit, dapat memperbaiki fungsi umum, mendapatkan pekerjaan, mempunyai tempat tinggal, dan mengurangkan tempoh masa tinggal di hospital (terutamanya apabila mereka telah tinggal lama di hospital sebelum ini). Apabila ICM dibandingkan dengan bukan-ICM, perbezaan yang jelas adalah bahawa mereka dalam kumpulan ICM lebih cenderung untuk dijaga.

Kesimpulan

Tiada bukti berkualiti tinggi untuk hasil utama yang dikaji; tahap paling baik ialah bukti merupakan kualiti sederhana. Tambahan pula, sistem sokongan penjagaan kesihatan dan sosial negara di mana kajian telah berlaku agak berbeza, jadi adalah sukar untuk membuat kesimpulan keseluruhan yang sah. Tambahan pula, kami tidak dapat menggunakan banyak data tentang kualiti hidup dan kepuasan pesakit dan penjaga kerana kajian-kajian menggunakan banyak skala yang berbeza untuk mengukur hasil ini, dan sesetengahnya tidak disahkan. Pembangunan dan pengesahan keseluruhan skala akan sangat bermanfaat dalam menghasilkan perkhidmatan yang disukai orang ramai.

(Ringkasan bahasa biasa asalnya disediakan untuk ulasan ini oleh Janey Antoniou daripada RETHINK, UK .rethink.org)).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Hajar Zuber (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi hajarzuber.07@seriputeri.edu.my

Tools
Information