Teh merah (Rozel) untuk menurunkan tekanan darah pada orang dewasa

Mesej utama:

Kita tidak tahu sama ada pengambilan Rozel menurunkan tekanan darah pada orang yang menghidap hipertensi (tekanan darah tinggi).

Kita tidak tahu sama ada Rozel selamat untuk diambil oleh orang yang menghidap hipertensi atau jika ia menjejaskan kadar denyutan jantung atau tekanan nadi.

Apakah yang pengulas ingin ketahui?

Pengulas ingin tahu sama ada teh merah (Rozel) adalah rawatan yang selamat dan berkesan untuk menurunkan tekanan darah pada orang dewasa dengan tekanan darah tinggi apabila dibandingkan dengan plasebo (rawatan sulih) atau tiada rawatan. Rozel mengandungi bahan yang dikenali sebagai antosianin yang telah terbukti menurunkan tekanan darah dalam kajian yang dijalankan pada haiwan dan manusia.

Apakah yang pengulas telah lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan Rozel dengan plasebo atau tiada rawatan pada orang yang menghidap hipertensi.

Apakah yang pengulas telah temui?

Pengulas menyertakan satu kajian dengan 60 peserta dengan penyakit diabetes jenis 2 dan hipertensi. Peserta mengambil sama ada satu kapsul ekstrak Rozel tulen atau plasebo yang mengandungi laktosa selama lapan minggu. Pengulas tidak pasti sama ada Rozel mempunyai kesan ke atas tekanan darah dan kajian tersebut tidak melaporkan tentang keselamatan Rozel atau perubahan pada kadar denyutan jantung.

Apakah batasan bukti tersebut?

Pengulas menjumpai hanya satu kajian yang memasukkan jumlah peserta yang sedikit, yang semuanya menghidap diabetes. Lebih banyak kajian dengan pelbagai jenis peserta dan cara pengambilan Rozel yang berbeza (bentuk, jumlah, dan masa daimbil, tempoh penggunaan) diperlukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan yang terdahulu. Pengulas mencari kajian terkawal rawak (kajian dengan peserta dibahagikan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dalam pangkalan data teras sehingga Ogos 2021, dan mencari pangkalan data tempatan dan di rantau Cina dan Thai secara manual sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information