Pembersihan faraj dengan larutan antiseptik sebelum kelahiran cesarean bagi mengurangkan jangkitan selepas cesarean

Apakah isunya?

Kami ingin menentukan samada pembersihan vagina dengan larutan antiseptik sebelum kelahiran cesarean mengurangkan risiko jangkitan maternal, termasuk jangkitan lapisan uterus dan komplikasi luka. Pembersihan faraj sebelum kelahiran cesarean dapat mengurangkan bilangan bakteria dalam vagina. Bakteria berada secara semulajadi di dalam faraj dan serviks dan boleh bergerak ke atas untuk menjangkiti uterus semasa prosedur. Secara rutin antibiotik diberi sebelum atau semasa pembedahan bagi mengurangkan risiko jangkitan, tetapi sesetengah wanita masih menderita dari komplikasi-komplikasi ini. Sesetengah antibiotik tidak secara konsisten membasmi semua bakteria dan mungkin juga terdapat bakteria yang kebal antibiotik.

Mengapa ini penting?

Kelahiran cesarean adalah lazim, dengan hampir satu dalam tiga bayi dilahirkan secara cesarean dalam negara-negara seperti AS. Di antara satu dalam empat dan satu dalam 10 wanita yang melalui kelahiran cesarean, masing-masing mengalami jangkitan uterus (endometritis) atau masalah dengan insisi kulit mereka. Risiko jangkitan lebih tinggi jika air ketuban wanita telah pecah atau wanita telah mengalami pelahiran sebelum pembedahan cesarean. Komplikasi-komplikasi ini melambatkan pemulihan wanita selepas pembedahan dan mungkin mempengaruhi keupayaannya untuk menjaga bayi. Ini merupakan Ulasan Cochrane yang pertama kali diterbitkan pada 2010 dan seterusnya dikemas kini pada 2012 dan dua kali pada 2014.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada Julai 10, 2017. Dalam kemas kini ini, kami telah memasukkan 11 kajian rawak terkawal, melibatkan sejumlah 3403 wanita yang melalui pembedahan cesarean. Lapan kajian menggunakan povidone-iodine untuk pembersihan faraj, dua chlorhexidine, dan satu benzalkonium chloride. Bukti kualiti menggunakan GRADE adalah sederhana untuk hasil-hasil yang dilaporkan.

Kami mendapati pembersihan faraj dengan larutan antiseptik berbanding dengan tiada pembersihan atau menggunakan larutan salina atau air serta merta sebelum pembedahan cesarean mengurangkan lebih separuh risiko jangkitan uterus selepas cesarean dari kadar 8.7% turun kepada kadar 3.8% (10 kajian, 3283 wanita). Walaupun kami harus berhati-hati dengan keputusan yang ditemui bagi wanita dalam sesetengah kumpulan tertentu, kami mendapati manfaat juga dilihat jika air ketuban wanita telahpun pecah (dari 17.9% kepada 4.3% dengan pembersihan faraf; tiga kajian, 272 wanita) dan jika wanita telah mula pelahiran pada masa kelahiran cesarean (dari kadar 11.1% turun kepada 4.7% dengan pembersihan faraj; empat kajian, 960 wanita). Manfaat adalah serupa dengan penggunaan kedua-dua povidone-iodine dan chlorhexidine.

Risiko mengalami demam (lapan kajian, 3109 wanita) atau jangkitan luka (lapan kajian, 2839 wanita) selepas kelahiran cesarean mungkin berkurangan sedikit dengan persediaan antiseptik, tetapi keputusannya tidak begitu jelas. Hanya hasil komposit komplikasi luka atau endometritis dikurangkan secara keseluruhan bagi wanita yang menerima pembersihan faraj pra-operatif (dua kajian, 499 wanita).

Tiada laporan menyebut sebarang wanita mengalami kejadian buruk seperti tindakbalas alergi kepada larutan pembersih atau kerengsaan.

Apakah maksudnya?

Pembersihan faraj sejurus sebelum kelahiran cesarean samada dengan larutan berasaskan iodine atau chlorhexidine mungkin mengurangkan risiko jangkitan uterus selepas pembedahan cesarean. Manfaat ini mungkin lebih besar bagi wanita yang melalui kelahiran cesarean selepas membran mereka telah ruptur atau mereka telahpun berada dalam pelahiran. Ini merupakan cara yang paling mudah, diterima baik bagi mengurangkan peluang mengalami jangkitan selepas melahirkan bayi secara cesarean.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information
Share/Save