Asid tranexamic untuk mencegah perdarahan postpartum

Perdarahan postpartum adalah lazim dan kadang-kadang menjadi komplikasi pelahiran yang mengancam nyawa. Majoriti wanita menerima ubat-ubatan yang terus merangsang rahim (profilaksis uterotonik) semasa bersalin untuk mencegah perdarahan akibat kegagalan otot rahim mengecut seperti biasa (atoni rahim).

Asid tranexamic (TA) digunakan untuk mengurangkan kehilangan darah dalam pembedahan dan masalah kesihatan yang berkaitan dengan perdarahan berlebihan. Ia berfungsi membantu mengelakkan kerosakan fibrin dan mengekalkan klot darah. Ulasan ini mendapati TA juga efektif dalam mengurangkan kehilangan darah berlebihan, keperluan intervensi perubatan tambahan untuk mengawal perdarahan dan transfusi darah selepas ibu bersalin berasaskan kajian-kajian yang berlainan kualitinya. Dua belas kajian (3285 peserta) telah dimasukkan dalam ulasan ini. TA telah diberikan sebelum pembedahan caesarean dalam sembilan kajian rawak atau selepas kelahiran faraj (tiga kajian rawak) bagi wanita yang secara amnya sihat.

TA mengurangkan kehilangan darah lebih daripada 400 ml atau lebih daripada 500 ml dan kesan ini lebih jelas dengan kelahiran faraj. Kajian-kajian tersebut mempunyai kelemahan metodologi. Kehilangan darah melebihi 1000 ml dikurangkan dengan penggunaan TA dalam enam kajian (2093 wanita), namum, perbezaan adalah paling jelas dalam pembedahan caesarean (dua kajian, 1400 wanita) dan bukan dalam kelahiran faraj di mana terdapat sedikit hasil sedemikian(satu kajian, 439 wanita). Purata kehilangan darah menurun sebanyak 77 ml dengan penggunaan TA, keseluruhan (lima kajian, 1186 wanita) dan untuk kedua-dua kelahiran faraj dan kelahiran pembedahan caesarean. Dapatan ini adalah berdasarkan kajian-kajian dengan batasan metodologi.

Kajian-kajian adalah terlalu kecil untuk mengesan kesan TA terhadap kematian ibu atau klot darah. Kesan-kesan sampingan ringan, termasuk cirit-birit, loya dan muntah adalah lebih blazim dalam kalangan wanita yang menerima TA berbanding plasebo atau tiada intervensi. Tiada perbezaan dalam kehilangan darah dan kesan-kesan sampingan apabila dua dos TA berbeza dinilai. Kajian lanjutan yang lebih besar diperlukan untuk menyiasat kesan TA terhadap kematian ibu dan pembetukan darah beku dalam darah (thromboembolism).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor’s University, Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Tools
Information