Ubat gigi fluorida pelbagai kekuatan untuk mencegah kerosakan gigi

Soalan ulasan
Kajian ini dihasilkan untuk menilai kesan ubat gigi pelbagai kekuatan fluorida bagi mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Latar belakang
Kerosakan gigi (karies) adalah sejenis penyakit yang meluas, melibatkan berbilion-bilion orang di seluruh dunia. Fluorida telah lama digunakan untuk mencegah kerosakan, melalui pelbagai kaedah yang berbeza termasuk ubat gigi, air, susu, ubat kumur mulut, gel gigi dan varnis. Memberus gigi secara regular disyorkan untuk mencegah kerosakan dan lain-lain penyakit mulut, dan memberus gigi selama 2 minit dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida biasanya disyorkan. Kekuatan tipikal ubat gigi biasa atau keluarga adalah sekitar 1000 hingga 1500 bahagian per juta (ppm) fluorida, tetapi banyak kekuatan lain boleh didapati di seluruh dunia. Tiada kepekatan fluorida minimum, tetapi kepekatan maksimum fluorida yang dibenarkan untuk ubat gigi berbeza-beza mengikut umur dan negara. Kepekatan yang lebih tinggi jarang didapati di kaunter, dan dikelaskan sebagai ubat preskripsi sahaja. Ubat gigi fluorida yang lebih kuat boleh menawarkan perlindungan kerosakan yang lebih besar tetapi juga meningkatkan risiko fluorosis (enamel kecacatan) dalam gigi yang sedang membentuk. Ini adalah kemas kini ulasan Cochrane yang pertama diterbitkan pada 2010.

Ciri-ciri kajian
Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane telah menjalankan ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 15 Ogos 2018. Ia merangkumi 96 kajian yang diterbitkan antara 1955 dan 2014: tujuh kajian dengan 11,356 peserta yang dirawak melaporkan kesan ubat gigi berfluorida sehingga 1500 ppm pada gigi primer; satu kajian dengan 2500 peserta yang dirawak melaporkan kesan ubat gigi 1450 ppm pada gigi primer dan gigi kekal; 85 kajian dengan 48,804 peserta yang dirawak melaporkan kesan ubat gigi sehingga 2400 ppm ke atas gigi kekal kanak-kanak sehingga umur 18 tahun; dan tiga kajian dengan 2675 peserta yang dirawak melaporkan kesan sehingga 1100 ppm ubat gigi ke atas gigi kekal orang dewasa. Kebanyakan kajian menilai kerosakan selepas peserta menggunakan ubat gigi selama tiga puluh enam bulan.

Keputusan utama
Kami bentangkan di bawah ini penemuan-penemuan yang mana terdapat bukti-bukti kepastian sederhana atau tinggi.

Dalam gigi susu kanak-kanak, memberus gigi dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida 1500 ppm mengurangkan amaun kerosakan baru apabila dibandingkan dengan ubat gigi tanpa fluorida; amaun kerosakan yang baru adalah sama dengan ppm 1055 berbanding ubat gigi berfluorida 550 ppm; dan ada sedikit pengurangan amaun kerosakan baru dengan fluorida 1450 ppm berbanding ubat gigi berfluorida 440 ppm.

Lapan puluh satu kajian menilai kesan kekuatan berbeza ubat gigi berflourida berbanding antara satu sama lain (tujuh kekuatan berbeza dalam 21 kombinasi) dalam gigi kekal kanak-kanak dan remaja. Kami mendapati kurang kerosakan apabila memberus dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida 1000 hingga 1250 atau 1450 hingga 1500 ppm berbanding ubat gigi tanpa fluorida, dan memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida 1450 hingga 1500 ppm mengurangkan amaun kerosakan baru lebih daripada ubat gigi befluorida 1000 hingga 1250 ppm. Kami mendapati amaun kerosakan yang sama jumlahnya apabila kanak-kanak dan remaja menggunakan ubat gigi dengan fluorida 1700 hingga 2200 ppm atau 2400 hingga 2800 ppm berbanding 1450 hingga 1500 ppm. Bukti untuk kesan ubat gigi dengan kekuatan lain adalah kurang pasti.

Dalam gigi kekal dewasa pada semua peringkat umur, ubat gigi berflourida 1000 atau 1100 ppm mengurangkan kerosakan berbanding ubat gigi tanpa fluorida.

Kebanyakan kajian tidak mengukur kesan mudarat penggunaan ubat gigi, tetapi apabila dilaporkan, kesan seperti kerosakan tisu lembut dan stain gigi adalah minimum.

Kepastian bukti
Terdapat bukti dengan kepastian tinggi bahawa ubat gigi berfluorida 1000 hingga 1250 ppm adalah lebih berkesan daripada ubat gigi tanpa fluorida. Terdapat bukti dengan kepastian sederhana untuk penemuan-penemuan lain yang dilaporkan dalam 'Keputusan utama' di atas. Bagi ubat gigi dengan kekuatan lain yang dibanding terhadap satu sama lain atau terhadap ubat gigi tanpa fluorida, terdapat sedikit kajian-kajian dengan bilangan peserta-peserta yang terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang kesan dengan jelas.

Rumusan pengarang
Terdapat manfaat menggunakan ubat gigi berfluorida pada kekuatan tertentu untuk mencegah kerosakan gigi apabila dibandingkan dengan ubat gigi tanpa fluorida. Semakin tinggi kepekatan fluorida, semakin banyak kerosakan dapat dicegah. Untuk kebanyakan perbandingan pelbagai kekuatan ubat gigi, penemuan adalah tidak pasti dan boleh dicabar dengan penyelidikan lanjutan. Pemilihan ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak harus diimbangi risiko fluorosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information