Rawatan zat besi bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang

Apakah isunya?

Anemia (pengurangan bilangan sel darah merah dalam sirkulasi) kerap berlaku dalam mereka yang mempunyai kerosakan buah pinggang, terutamanya mereka yang memerlukan rawatan dialisis. Anemia boleh menyebabkan keletihan, penurunan ketahanan bersenam dan membesarkan saiz jantung. Penyebab anemia yang lazim adalah seperti pengurangan penghasilan hormon eritropoietin. Pengurangan zat besi boleh memburukkan anemia dan mengurangkan respon kepada ubat-ubatan yang merangsang penghasilan eritropoietin. Zat besi boleh diambil secara oral (melalui mulut) atau disuntik secara intravena (melalui vena). Zat besi intravena (IV) diberikan bawah penyeliaan di hospital. Tiada ketidakpastian samada rawatan zat besi intravena sepatutnya digunakan berbanding zat besi oral.

Apa yang kami lakukan?

Kami meneliti 39 kajian (melibatkan 3852 peserta) yang membandingkan suplemen zat besi intravena dengan zat besi oral dalam peserta yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik.

Apakah yang telah kami temui?

Kami mendapati suplemen zat besi intravena boleh meningkatkan tahap hemoglobin dan zat besi dalam darah berbanding zat besi oral. Bagaimanapun, suplemen zat besi intravena boleh meningkatkan kejadian reaksi alergi walaupun ianya mampu mengurangkan kesan-kesan sampingan oleh suplemen zat besi oral seperti sembelit, cirit birit, loya dan muntah. Kami mendapati tiada bukti yang cukup untuk menentukan samada suplemen zat besi intravena berbanding zat besi oral, dapat menambahbaik kualiti kehidupan, mengubah kadar kematian secara am atau kematian yang disebabkan oleh penyakit jantung.

Kesimpulan

Walaupun hasil penelitian kajian telah mencadangkan rawatan zat besi intravena berbanding zat besi oral, mungkin lebih berkesan dalam meningkatkan tahap zat besi dan hemoglobin; kami mendapati tiada data yang mencukupi untuk menentukan samada manfaat rawatan zat besi intravena mendapat justifikasi yang cukup untuk penambahbaikan kualiti kehidupan atau kematian; disamping ianya juga mempunyai risiko kecil kesan reaksi alergi yang berpotensi serius dalam sesetengah pesakit yang diberikan rawatan zat besi intravena.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information