Vitamin A bagi mencegah kebutaan dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap campak

Latar belakang

Setiap tahun 500,000 kanak-kanak di seluruh dunia menjadi buta; 75% daripada mereka tinggal di negara berpendapatan rendah. Punca utama kebutaan dalam kalangan kanak-kanak sangat berbeza dari kawasan ke kawasan dan ia berkait dengan taraf hidup masyarakat. Parut pada mata akibat campak, kekurangan vitamin A, penggunaan ubat mata tradisional yang berbahaya dan jangkitan mata pada bayi yang baru lahir adalah punca utama kebutaan di negara berpendapatan rendah. Vitamin A ialah nutrien yang penting dalam badan dan ia diperlukan untuk mata berfungsi dengan normal. Kekurangannya mengakibatkan penglihatan yang rendah.

Jangkitan campak dalam kalangan kanak-kanak telah dikaitkan dengan kekurangan vitamin A dan kebutaan. Mengawal kebutaan dalam kalangan kanak-kanak dianggap sebagai suatu keutamaan bagi Visi 2020 Program Hak Untuk Penglihatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kajian telah melaporkan manfaat vitamin A dalam mengurangkan beban penyakit dan kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap campak. Ulasan ini mengkaji kegunaan vitamin A dalam mencegah kebutaan dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti campak tanpa ciri-ciri kekurangan vitamin A.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan dua kajian rawak terkawal yang berkualiti sederhana, melibatkan 260 kanak-kanak yang menghidap campak, membandingkan kanak-kanak yang diberi vitamin A dengan kanak-kanak yang tidak diberi vitamin A.

Hasil utama

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2015. Dua dos vitamin A yang diberikan pada dua hari berturut-turut kepada kanak-kanak menghidap campak yang dirawat di hospital telah menyebabkan peningkatan dalam kepekatan vitamin A dalam darah selepas seminggu. Walau bagaimanapun, terdapat limitasi di mana tiada satu pun daripada kedua-dua kajian terlibat yang melaporkan kebutaan atau lain-lain masalah mata dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti campak. Di samping itu, tiada kesan sampingan rawatan telah dilaporkan oleh kajian terlibat. Kami tidak mempunyai bukti yang memadai untuk menunjukkan manfaat vitamin A atau sebaliknya dalam mencegah kebutaan dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti campak.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dan metodologi kedua-dua kajian adalah sederhana. Saiz sampel kajian yang terlibat adalah agak kecil, dan ini boleh menjejaskan ketepatan keputusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information