Penggunaan ubat-ubatan untuk merawat pesakit dengan kecelaruan personaliti antisosial

Latar belakang

Individu dengan kecelaruan personaliti antisosial (AsPD) boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain dan ini adalah bertentangan dengan undang-undang. Mereka boleh berlaku tidak jujur dan bertindak agresif tanpa berfikir terlebih dahulu. Ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Terdapat bat-ubatan tertentu yang dapat membantu mereka yang mengalami AsPD. Ulasan ini merupakan kemaskini ulasan yang diterbitkan pada 2010.

Soalan ulasan

Apa kesan baik dan kesan buruk daripada ubat-ubatan terhadap kelakuan agresif, sabitan semula (pengulangan kesalahan), dan kemampuan pesakit untuk berfungsi dalam masyarakat?

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang relevan hingga 5 September 2019 dan menemui 11 percubaan rawak terkawal (RCT); sejenis kajian di mana peserta ditentukan secara rawak (secara kebetulan sahaja) untuk mendapat ubat atau plasebo (tablet kosong).

Kajian ini merangkumi 416 peserta AsPD, kebanyakannya adalah lelaki (90%), dengan purata usia 39.6 tahun. Sebilangan besar kajian (10/11) dilakukan di Amerika Utara di klinik pesakit luar (tujuh kajian). Dua kajian dilakukan dalam keadaan bercampur, satu di dalam hospital dan di penjara. Kajian berlangsung antara enam hingga 24 minggu, dan tiada tempoh susulan diberi. Data diperolehi hanya empat dari 11 kajian yang melibatkan 274 peserta dengan AsPD.

Beberapa kajian melaporkan penemuan-penemuan penting dalam AsPD: kelakuan agresif (enam kajian), keadaan/fungsi global (tiga kajian), fungsi sosial (satu kajian) dan kesan sampingan (tujuh kajian). Ada yang melaporkan hasil yang lain: meninggalkan kajian lebih awal (lapan kajian), penyalahgunaan bahan terlarang (lima kajian), status pekerjaan (satu kajian), impulsif (satu kajian), kemarahan (tiga kajian), dan keadaan mental (tiga kajian). Tiada kajian yang melaporkan data mengenai sabitan semula, kualiti hidup, keterlibatan dengan perkhidmatan, kepuasan dengan rawatan, status perumahan/tempat tinggal, hasil ekonomi atau penjara/perkhidmatan.

Tiada kajian yang merekrut peserta atas dasar hanya mempunyai AsPD. Sebilangan besar peserta menghadapi masalah penyalahgunaan bahan terlarang. Kajian-kajian menggunakan kaedah yang meningkatkan risiko data menjadi berat sebelah atau tidak benar (misalnya tidak melaporkan semua hasilnya) dan yang tidak membenarkan statistik bebas dilakukan untuk kajian ini.

Kajian menilai 11 ubat-ubatan tetapi data perbandingan untuk peserta AsPD tersedia hanya untuk tiga jenis ubat dan plasebo: antiepileptik (ubat untuk merawat epilepsi); antidepresan (ubat untuk merawat kemurungan); dan agonis dopamin (ubat untuk merawat penyakit Parkinson).

Keputusan utama

Phenytoin (antiepileptik) berbanding plasebo

Satu kajian (60 peserta) menemui bukti kepastian yang sangat rendah bahawa berbanding dengan plasebo, phenytoin dapat mengurangkan kekerapan purata tindakan agresif setiap minggu pada tahanan lelaki yang agresif dengan AsPD pada minggu keenam. Bilangan peserta yang melaporkan kesakitan pada minggu pertama tidak berbeza di antara kumpulan, dan tidak ada kesan sampingan yang dapat dikesan melalui ujian darah. Kami sangat tidak pasti mengenai penemuan ini.

Desipramine (antidepresan) berbanding plasebo

Satu kajian (29 peserta) tidak menemukan bukti perbezaan skor fungsi sosial pada minggu ke-12 antara ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan (desipramine) dan plasebo. Kami sangat tidak pasti mengenai penemuan ini.

Nortriptyline (antidepresan) berbanding plasebo

Satu kajian (20 peserta) tidak menemukan bukti perbezaan skor keadaan/fungsi global pada lelaki dengan ketergantungan pada alkohol pada bulan keenam antara antidepresan yang berbeza (nortriptyline) dan plasebo. Kami sangat tidak pasti mengenai penemuan ini.

Bromocriptine (agonis dopamin) berbanding plasebo

Satu kajian (18 peserta) tidak menemukan bukti perbezaan skor keadaan/fungsi global pada bulan keenam antara ubat yang digunakan untuk merawat penyakit Parkinson (bromocriptine) dan plasebo. Dua belas peserta yang dimasukkan secara rawak kepada kumpulan bromokriptin mengalami kesan sampingan, lima daripadanya menarik diri kerana penyakit dan gejala seperti selesema pada dua hari pertama. Kami sangat tidak pasti mengenai penemuan ini.

Amantadine (agonis dopamin) berbanding plasebo

Tidak ada kajian dirangkumkan yang menilai keberkesanan rawatan lain untuk penyakit Parkinson (amantadine) untuk mana-mana hasil utama.

Kesimpulan

Kepastian tentang bukti sangat rendah, bermakna kami tidak yakin dengan penemuannya. Tidak ada bukti yang cukup untuk menentukan sama ada ubat-ubatan adalah rawatan yang dapat membantu penghidap AsPD.

Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menjelaskan ubat-ubatan mana, jika ada, yang berkesan untuk merawat ciri-ciri utama AsPD. Kajian masa hadapan harus merekrut peserta atas dasar mempunyai AsPD, dan memasukkan sabitan semula sebagai ukuran hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nadia Nur Ayunni Amir Hamzah. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save