Rawatan untuk keguguran rambut corak wanita

Soalan ulasan

Rawatan mana yang berkesan dan selamat untuk keguguran rambut corak wanita (FPHL)?

Latar belakang

Jenis keguguran rambut yang paling lazim dalam kalangan wanita ialah FPHL, juga dikenali sebagai alopesia androgenik. Tidak seperti lelaki, wanita tidak menjadi botak, tetapi penipisan rambut mendominasi bahagian atas dan di hadapan kepala. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa, dari akil baligh sehingga kemudian dalam hidup. Walau bagaimanapun, ia berlaku lebih kerap dalam kalangan wanita selepas menopaus.

Diagnosis disokong oleh pengambilan sejarah yang teliti (termasuk sejarah keluarga). Penyebab-penyebab lain perlu dipertimbangkan; oleh itu, pemeriksaan klinikal dan ujian makmal mungkin diperlukan. FPHL boleh memberi impak besar terhadap kesedaran diri, dan kerosakan kepada keyakinan diri seseorang wanita boleh mempengaruhi kualiti hidupnya (QoL), yang membawa kepada perasaan tidak menarik, malu, ketidakselesaan, tekanan emosi, dan harga diri yang rendah.

Ciri-ciri kajian

Kami memeriksa bukti sedi ada sehingga 7 Julai 2015. Empat puluh tujuh kajian, termasuk 5290 wanita, memenuhi kriteria inklusi ulasan Cochrane ini. Purata umur peserta dalam kajian-kajian tersebut berbeza dari 27 hingga 57 tahun. Kami menilai lebih separuh daripada kajian-kajian yang dimasukkan berisiko bias tidak jelas, 16 sebagai berisiko tinggi, dan hanya lima kajian berisiko bias rendah. Pembiayaan disediakan dalam 26 daripada 47 kajian, terutamanya oleh syarikat-syarikat farmaseutikal.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan Cochrane ini mendapati minoksidil lebih berkesan daripada plasebo. Dalam enam kajian, sebahagian wanita yang mengalami sekurang-kurangnya pertumbuhan semula rambut sederhana adalah dua kali lebih tinggi dalam kumpulan minoxidil berbanding kumpulan plasebo. Ini telah disahkan oleh penilaian para penyiasat dalam tujuh kajian. Di dalam lapan kajian, terdapat peningkatan penting jumlah kiraan rambut setiap cm² dalam kumpulan minoxidil berbanding kumpulan plasebo. QoL hanya dinilai dalam satu kajian dan ianya tidak jelas dari data jika terdapat penambahbaikan yang penting. Bilangan kejadian buruk adalah serupa untuk kedua-dua kumpulan. Kebanyakannya adalah ringan, terdiri daripada gatal, kerengsaan kulit, dermatitis, dan pertumbuhan rambut tambahan di kawasan selain kulit kepala.

Empat kajian membandingkan minoksidil (2%) hingga minoxidil (5%), tetapi tiada kajian yang menunjukkan manfaat kepekatan yang lebih tinggi ke atas kepekatan yang lebih rendah. Bilangan kejadian buruk tidak berbeza antara dua kumpulan. Minoksidil tidak boleh digunakan dalam kalangan wanita hamil atau menyusui.

Tiga kajian membandingkan finasteride kepada plasebo. Finasteride hanya diluluskan untuk rawatan keguguran rambut lelaki dan untuk prostat yang besar. Dalam salah satu daripada tiga kajian pendapat kedua-dua peserta dan penyiasat dinilai tetapi finasteride ditunjukkan tidak lebih berkesan daripada plasebo. Kiraan rambut bertambah baik hanya dalam kumpulan finasteride dalam sebuah kajian kecil dengan 12 peserta, tetapi tidak dalam dua kajian lain (219 peserta). Peristiwa buruk hanya ditangani dalam satu kajian dan ini adalah sama dalam kedua-dua kumpulan. Para penyiasat kajian ini tidak menilai QoL.

Terapi sikat laser tidak dilihat lebih berkesan dari terapi palsu mengikut para peserta dalam dua kajian dengan 141 peserta. Walau bagaimanapun peningkatan penting dalam pertumbuhan rambut dilaporkan dalam kedua-dua kajian ini. QoL tidak ditangani, dan peristiwa buruk tidak dilaporkan dalam setiap kumpulan intervensi, menjadikan data ini kurang berguna.

Kajian individu menyiasat kebanyakan intervensi dan perbandingan yang lain, dan kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai keberkesanan atau keselamatan intervensi yang lain.

Walaupun secara amnya diakui bahawa pembaharuan keguguran rambut berlaku tidak lama lagi selepas pemberhentian rawatan, tiada kajian melaporkan data tentang kelestarian kesan rawatan, dan juga kemungkinan impak pertumbuhan semula rambut, digambarkan oleh penurunan masa yang dihabiskan oleh wanita bagi penggayaan rambut atau penggunaan rambut palsu.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk kebanyakan hasil sebagai sederhana atau rendah. Kualiti bukti yang lebih rendah adalah terutamanya disebabkan oleh risiko bias dalam kajian-kajian (seperti tiada pembutaan) atau saiz sampel kecil yang membuat keputusan kurang tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information