Mengurangkan loya dan muntah pada wanita yang melahirkan bayi melalui kaedah caesar dengan pembiusan setempat

Apakah isunya?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui dari kajian rawak terkawal tentang tahap keberkesanan ubat dan rawatan-rawatan lain dalam mengurangkan loya dan muntah semasa dan selepas pembedahan caesar yang menggunakan pembiusan epidural atau tulang belakang, jika dibandingkan dengan kawalan yang tidak aktif. Kami telah mencari semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ulasan kami (April 2020).

Mengapakah hal ini penting?

Wanita kerap memilih untuk sedar apabila melahirkan anak mereka, sekiranya ia boleh dilakukan, pembedahan caesar dilakukan di bawah pembiusan setempat (tulang belakang atau epidural). Mual dan muntah biasa dialami semasa dan sejurus selepas pembedahan caesar dengan pembiusan setempat. Hal ini memberi tekanan kepada wanita. Muntah semasa pembedahan juga boleh memberi cabaran kepada pakar bedah semasa pembedahan dan meletakkan ibu berisiko untuk mengalami cairan dari perut masuk ke dalam saluran udara.

Beberapa ubat biasanya digunakan untuk mengurangkan loya dan muntah. Terdapat juga beberapa pendekatan tanpa ubatan seperti akupresur/akupunktur dan halia. Kesan sampingan yang mungkin termasuklah sakit kepala, pening, tekanan darah rendah dan gatal-gatal.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami telah mengenal pasti 69 kajian rawak terkawal (yang melibatkan 8928 wanita) yang memberikan data. Data kebanyakannya melibatkan pembedahan caesar bukan kecemasan dan kebanyakan penemuan hanya disokong oleh bukti berkepastian tahap rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh banyak kajian yang lama, dengan bilangan peserta yang sedikit atau kaedah yang tidak jelas. Beberapa hasil mempunyai bukti berkepastian sederhana.

Antagonis 5-HT 3 (seperti ondansetron, granisetron): bahan-bahan ini mungkin mengurangkan loya selepas pembedahan, dan ia juga dapat mengurangkan rasa mual semasa pembedahan (bukti berkepastian rendah) dan muntah selepas pembedahan, tetapi sebarang kesan muntah semasa pembedahan adalah tidak jelas.

Antagonis dopamin (seperti metoclopramide, droperidol): ia boleh mengurangkan muntah semasa pembedahan dan loya selepas pembedahan, tetapi adalah tidak jelas sama ada ia mengurangkan mual semasa pembedahan dan muntah selepas pembedahan.

Steroid (seperti dexamethasone): ia mungkin mengurangkan loya selepas pembedahan dan boleh mengurangkan muntah selepas pembedahan, tetapi adalah tidak jelas sama ada steroid mengurangkan mual dan muntah semasa pembedahan.

Antihistamin (seperti dimenhydrinate, cyclizine): ia boleh mengurangkan loya selepas pembedahan, tetapi ia menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan untuk mual dan muntah semasa pembedahan dan muntah selepas pembedahan.

Antikolinergik (seperti glycopyrrolate, scopolamine): ia boleh mengurangkan rasa mual semasa pembedahan dan muntah selepas pembedahan, tetapi ia mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan untuk semasa pembedahan. Tidak ada kajian mengenai loya selepas pembedahan,

Penenang (seperti propofol, midazolam, ketamine): ia mungkin mengurangkan mual dan muntah semasa pembedahan dan boleh mengurangkan muntah selepas pembedahan, tetapi adalah tidak pasti sama ada ia mengurangkan rasa mual selepas pembedahan.

Antagonis opioid (seperti nalbuphine): hanya satu kajian kecil yang memberikan data mengenai mual dan muntah selepas pembedahan, dan dapatan menunjukkan ia mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan.

Akupresur/akupuntur: ia boleh mengurangkan muntah semasa pembedahan tetapi adalah tidak pasti sama ada ia mengurangkan mual semasa pembedahan atau mual dan muntah selepas pembedahan.

Halia: adalah tidak jelas sama ada halia mengurangkan mual dan muntah semasa pembedahan atau loya dan muntah selepas pembedahan.

Beberapa kajian telah menilai pandangan wanita. Apa data terhad yang ada mengenai kesan sampingan tidak menemui sebarang perbezaan.

Apakah maksudnya?

Beberapa kelas ubat mungkin dapat membantu mengurangkan bilangan wanita yang mengalami mual dan muntah semasa dan selepas anestesia setempat untuk kelahiran caesar, walaupun lebih banyak data adalah diperlukan. Akupresur juga boleh membantu tetapi kami tidak menemui cukup data mengenai halia. Sangat sedikit kajian yang melihat pandangan wanita dan secara keseluruhan, tidak ada data yang cukup mengenai kemungkinan kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information