Menguji tahap procalcitonin darah untuk menentukan masa untuk memulakan dan menghentikan antibiotik pada orang dewasa yang mengalami jangkitan saluran pernafasan akut

Soalan ulasan

Apakah kesan menggunakan procalcitonin untuk memulakan atau menghentikan antibiotik pada orang yang mengalami jangkitan pernafasan akut berbanding dengan penjagaan rutin terhadap kematian dan kegagalan rawatan?

Latar belakang

Pada orang yang mengalami jangkitan pernafasan akut, penggunaan antibiotik yang tidak perlu menyumbang kepada peningkatan daya tahan bakteria, kos perubatan, dan risiko kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat. Bacaan procalcitonin meningkat dalam jangkitan bakteria dan menurun apabila pesakit pulih daripada jangkitan. Procalcitonin boleh diukur dalam darah pesakit dengan ujian yang tersedia secara komersial dengan masa pemulihan sekitar satu hingga dua jam dan menyokong keputusan klinikal mengenai permulaan dan pemberhentian terapi antibiotik.

Tarikh carian

Penyelidik menjalankan carian elektronik pada 10 Februari 2017. Penyelidik menjalankan pencarian untuk kajian berterusan pada 12 April 2017.

Ciri-ciri kajian

Semua kajian membahagikan secara rawak peserta yang mengalami jangkitan pernafasan akut untuk menerima antibiotik berdasarkan tahap procalcitonin (kumpulan 'procalcitonin-guided') atau kumpulan kawalan. Kajian dilakukan dalam penjagaan primer, jabatan kecemasan dan wad perubatan, dan unit perawatan intensif. Peserta yang terlibat mempunyai jangkitan akut saluran atas atau bawah, termasuk radang paru-paru, bronkitis, eksaserbasi penyakit paru-paru obstruktif kronik, dan lain-lain.

Sumber dana kajian

Semua kajian adalah kajian yang dimulakan oleh penyelidik. Separuh kajian dibiayai oleh agensi kebangsaan atau tidak melaporkan pembiayaan, dan separuh daripada kajian menerima pembiayaan daripada industri biomarker (seperti Thermo Fisher Scientific).

Keputusan utama

Penyelidik mengkaji 6708 peserta dari 26 kajian di 12 negara. Kematian pada 30 hari adalah jauh lebih rendah dalam peserta berpandu procalcitonin berbanding peserta kawalan (286 kematian dalam 3336 peserta berpandu procalcitonin (8.6%) berbanding 336 kematian dalam 3372 kawalan (10.0%)). Tiada perbezaan yang ketara berkaitan dengan kegagalan rawatan. Hasilnya adalah serupa untuk tetapan klinikal yang berlainan (penjagaan primer, jabatan kecemasan, unit penjagaan rapi) dan jenis jangkitan pernafasan. Mengenai pendedahan antibiotik, peserta dalam kumpulan procalcitonin mengalami pengurangan pendedahan antibiotik selama 2.4 hari dan pengurangan kesan sampingan yang berkaitan dengan antibiotik (16.3% berbanding 22.1%).

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah tinggi untuk kematian dan pendedahan antibiotik. Kebanyakan kajian tidak menggunakan pembutaan, namun penyelidik tidak menjangkakan bahawa kematian akan 'bias' oleh batasan ini. Kualiti bukti adalah sederhana untuk kegagalan rawatan dan kesan sampingan yang berkaitan dengan antibiotik kerana takrif bagi titik akhir ini di antara kajian adalah tidak sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save