Pembedahan berbanding konservatif dalam merawat dislokasi akromio-klavikular di bahagian bahu di kalangan orang dewasa

Ini merupakan ringkasan kajian mengenai kesan-kesan kaedah rawatan pembedahan berbanding kaedah rawatan bukan pembedahan (konservatif) untuk merawat dislokasi sendi akromio-klavikular.

Latar belakang

Sendi akromio-klavikular terletak di bahagian atas bahu. Ia merupakan sendi di antara tulang selangka dan akromion (unjuran dari bilah bahu yang terletak pada bucu bahu). Dislokasi sendi akromio-klavikular merupakan salah satu kecederaan bahu yang paling biasa dirawat dalam populasi yang aktif bersukan. Ini merupakan kecederaan bahu yang sering berlaku pada penunggang basikal dan pemain sukan kontak seperti pemain bola sepak, petinju, dan pengamal seni mempertahankan diri. Dislokasi biasanya berlaku pada lelaki muda yang jatuh dan mengalami impak langsung pada bahagian atas bahu. Kebanyakan dislokasi akromio-klavikular dirawat tanpa pembedahan, terutamanya yang mengalami perpisahan antara tulang yang tidak begitu teruk. Rawatan bukan pembedahan atau rawatan konservatif melibatkan penyekatan pergerakan lengan. Walau bagaimanapun, hasil kajian tersebut boleh menjadi kurang memuaskan apabila dislokasi yang lebih serius berlaku. Rawatan-rawatan pembedahan melibatkan pembetulan kedudukan bahagian-bahagian sendi dan membaiki atau membina semula ligamen-ligamen yang koyak.

Keputusan-keputusan carian

Kami menyemak pangkalan data perubatan sehingga Jun 2019 dan melibatkan enam kajian yang merangkumi 357 peserta yang terutamanya terdiri daripada lelaki muda dewasa. Semua kajian membandingkan pembetulan pembedahan (sama ada menggunakan skru, plat, pin, atau peranti-peranti lain untuk menstabilkan dislokasi sendi yang terlibat) dengan kaedah konservatif (menyekat pergerakan menggunakan salah satu daripada tiga jenis sling atau anduh yang direka khas). Dalam semua kajian, lengan tersebut juga disokong menggunakan anduh atau peranti yang sama selepas pembedahan. Pada bahagian yang dijelaskan, kedua-dua kumpulan telah menjalani rehabilitasi yang berasaskan senaman.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bahawa rawatan pembedahan berbanding rawatan konservatif mungkin tidak boleh memperbaiki fungsi bahu, mengembalikan kepada aktiviti sebelum ini (sukan dan kerja), atau kualiti hidup pada satu tahun. Kami menjumpai bukti-bukti bahawa pada enam minggu, hasil-hasil kajian ini mungkin lebih baik selepas rawatan konservatif, menunjukkan pemulihan yang lebih awal. Ini tidak jelas sama ada terdapat perbezaan antara rawatan pembedahan dan rawatan konservatif dalam kesakitan pada satu tahun, kegagalan rawatan biasanya mengakibatkan pembedahan sekunder, atau ketidakpuasan hati pesakit dengan penampilan bahu mereka. Ulasan ini mendapati lebih banyak komplikasi dalam kumpulan rawatan pembedahan, di mana sebahagian besarnya berkaitan dengan perkakasan pembedahan atau jangkitan daripada pembedahan. Sebaliknya, komplikasi utama yang dialami dalam kumpulan yang dirawat secara konservatif adalah ketidakselesaan. Risiko komplikasi sedemikian berbeza dalam kalangan enam kajian tersebut dan berkemungkinan untuk bergantung kepada jenis rawatan pembedahan yang digunakan. Komplikasi pembedahan lebih kerap berlaku dalam kajian-kajian yang lebih lama, yang menggunakan jenis rawatan pembedahan yang jarang digunakan pada hari ini.

Kualiti bukti

Kesemua enam kajian mempunyai kelemahan-kelemahan yang boleh mempengaruhi kebolehpercayaan hasil-hasil kajian mereka. Kami menganggap bahawa bukti untuk semua hasil-hasil kajian adalah sama ada berkualiti rendah atau sangat rendah.

Kesimpulan

Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa pembedahan mungkin tidak memberi manfaat pada satu tahun berbanding rawatan konservatif untuk dislokasi akromio-klavikular di kalangan orang dewasa. Kajian-kajian lanjutan yang berkualiti baik boleh membantu menyelesaikan ketidakpastian dan mengubah kesimpulan-kesimpulan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus, sebelum ini Penang Medical College). Disunting oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information