Sebatian perlekatan dalam media pemindahan embrio untuk teknologi pembiakan bantuan

Soalan ulasan

Penulis ulasan Cochrane menilai kesan penambahan sebatian pelekatan dalam media pemindahan embrio pada hasil kesuburan.

Latar belakang

Pasangan yang mempunyai masalah untuk hamil boleh menggunakan rawatan kesuburan seperti persenyawaan secara in vitro (IVF) dan suntikan intrasistoplasmik sperma (ICSI). Sejak beberapa tahun ini, banyak kajian telah dilaksanakan untuk menentukan sama ada terdapat cara-cara untuk meningkatkan kadar kejayaan rawatan tersebut. Satu bidang penyelidikan telah memberi tumpuan kepada medium di mana embrio dipindahkan kembali ke dalam rahim. Sebatian perlekatan telah ditambah kepada medium pemindahan embrio dalam usaha untuk meningkatkan peluang embrio untuk melekat pada rahim, dengan peluang yang lebih besar untuk kehamilan dan kelahiran yang sihat sebagai hasilnya. Banyak kajian mengenai sebatian perlekatan ini telah dilaksanakan dengan beberapa keputusan positif dan negatif.

Ciri-ciri Kajian

Tujuh belas kajian rawak terkawal (3898 peserta) telah dimasukkan dalam ulasan ini. Satu mengkaji pelekat fibrin, dan 16 lagi mengkaji HA. Penyelidik membandingkan pemindahan embrio dalam medium yang mengandungi asid hyaluronik yang tinggi atau rendah atau tanpa asid hyaluronik dalam medium yang mengandungi pelekat fibrin berbanding pemindahan dalam medium tanpa pelekat fibrin. Hasil yang dilaporkan termasuk kadar kelahiran hidup, kadar kehamilan klinikal, kadar implantasi, kadar kehamilan kembar dan kesan buruk yang lain. Purata umur wanita adalah berkisar dari 27.5 hingga 35.7 tahun. Bukti yang dikumpul adalah dari semasa hingga November 2013.

Keputusan utama

Analisis 16 kajian yang dikenal pasti menggunakan kepekatan berfungsi HA menunjukkan peningkatan dalam peluang kehamilan dan kelahiran hidup (450 vs 367 per 1000) tetapi juga meningkatnya peluang yang lebih berisiko bagi kehamilan kembar (282 vs 175 per 1000 ). Peningkatan dalam kadar kehamilan kembar ini mungkin disebabkan oleh hasil kehamilan yang lebih baik berpunca daripada penambahan sebatian perlekatan dan polisi memindahkan lebih daripada satu embrio kembali ke dalam rahim.

Kualiti bukti

Bukti yang diperolehi untuk perbandingan ini adalah berkualiti sederhana. Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa bukti kadar kelahiran yang lebih tinggi tidak dijumpai dalam semua analisis; walau bagaimanapun, ia telah ditemui di keseluruhan meta-analisis. Berdasarkan kajian tunggal yang dikenalpasti telah menggunakan pelekat fibrin, tiada bukti menunjukkan bahawa penambahan sebatian ini kepada medium pemindahan embrio akan menyebabkan hasil kehamilan yang lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information
Share/Save