Dalam IVF, adakah pemindahan embrio dalam media yang mengandungi kepekatan asid hialuronik yang tinggi mengakibatkan lebih banyak kelahiran hidup?

Apa itu IVF?

Persenyawaan in vitro (IVF) adalah rawatan kesuburan yang membantu orang yang mempunyai masalah kesuburan untuk melahirkan bayi. Semasa IVF telur dari ovari wanita disenyawakan dengan sperma di makmal. Telur diletakkan dalam piring dengan beberapa sperma untuk mensenyawakannya, atau satu sperma disuntikkan secara langsung ke dalamnya (suntikan sperma intrasitoplasmik; ICSI). Telur yang disenyawakan (embrio) kemudian dimasukkan (implantasi) ke dalam rahim wanita untuk membesar dan berkembang.

Embrio dipindahkan ke rahim dalam media pemindahan khas, larutan yang mengandungi sebatian yang membantu embrio melekat (melekap) dengan berjaya ke bahagian dalam rahim (implantasi). Asid hialuronik adalah sebatian semula jadi yang terdapat di dalam badan yang bertindak sebagai agen pengikat dan pelindung kepada tisu. Ia sering ditambahkan ke media pemindahan embrio untuk membantu implantasi embrio.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan media pemindahan dengan sebatian pelekatan berkepekatan tinggi untuk pemindahan embrio seperti asid hialuronik meningkatkan kejayaan dalam implantasi embrio, menghasilkan lebih banyak kelahiran hidup.


Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang meneliti penggunaan media pemindahan embrio yang mengandungi kepekatan asid hialuronik dalam IVF/ICSI.

Kami mencari kajian rawak terkawal yang mana rawatan diterima ditentukan secara rawak, kerana kajian-kajian ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai tentang kesan rawatan. Kami menilai bukti dengan melihat bagaimana kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan sama ada hasil kajian adalah konsisten.

Carian tarikh: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Januari 2020.


Apa yang kami temui

Kami menemui 26 kajian melibatkan 6704 wanita berusia 27 hingga 35 tahun yang menjalani IVF/ICSI. Kajian-kajian ini membandingkan pemindahan embrio menggunakan media yang mengandungi asid hialuronik berkepekatan tinggi berbanding larutan yang tidak mengandungi asid hialuronik atau berkepekatan yang rendah.

Kami berminat untuk mengetahui bagaimana kepekatan asid hialuronik dalam larutan pemindahan mempengaruhi bilangan:

· kelahiran hidup;

. keguguran (kehilangan kehamilan sebelum kehamilan 20 minggu);

· kehamilan klinikal;

· kehamilan kembar; dan

· kejadian buruk (tidak diingini).

Apakah hasil ulasan kami?

Pemindahan embrio menggunakan media dengan kepekatan asid hialuronik yang tinggi mungkin meningkatkan jumlah kelahiran hidup berbanding dengan penggunaan larutan dengan kepekatan rendah atau tanpa asid hialuronik (10 kajian). Sekiranya media pemindahan dengan kepekatan rendah atau tanpa asid hialuronik mempunyai kemungkinan 33% mengakibatkan kelahiran hidup, larutan dengan kepekatan tinggi meningkatkan kemungkinan kelahiran hidup menjadi antara 37% dan 44%. Mungkin ada 1 kelahiran hidup tambahan untuk setiap 14 embrio yang dipindahkan dalam larutan asid hialuronik berkepekatan tinggi.

Kepekatan asid hialuronik yang tinggi dalam larutan pemindahan embrio mungkin juga meningkatkan jumlah kehamilan klinikal (17 kajian) dan jumlah kehamilan kembar (7 kajian).

Penggunaan larutan pemindahan yang mengandungi kepekatan asid hialuronik yang tinggi boleh menyebabkan sedikit keguguran (7 kajian). Tetapi analisis kami tidak menunjukkan perbezaan yang jelas jika kami meninggalkan kajian yang hasilnya sangat bervariasi.

Kejadian buruk yang dilaporkan termasuk kehamilan ektopik (apabila embrio melekat di luar rahim) dan kelainan yang mempengaruhi embrio atau janin. Jumlah kejadian buruk yang serupa dilaporkan untuk kedua-dua jenis larutan pemindahan (kepekatan asid hialuronik tinggi dan rendah): kami tidak menemui bukti bahawa kepekatan asid hialuronik dalam larutan pemindahan mempengaruhi jumlah kejadian buruk yang dilaporkan.

Sejauh mana hasil-hasil ini boleh dipercayai?

Kami cukup yakin mengenai hasil kami untuk jumlah kelahiran hidup, kehamilan klinikal, dan kehamilan kembar. Hasil kami mungkin berubah sekiranya bukti lebih lanjut menjadi tersedia.

Kami kurang yakin mengenai kadar keguguran dan jumlah kejadian buruk, kerana hasil yang sangat bervariasi. Hasil kami kemungkinan akan berubah sekiranya bukti lebih lanjut menjadi tersedia.

Kesimpulan

Pemindahan embrio menggunakan larutan yang mengandungi kepekatan asid hialuronik yang tinggi mungkin meningkatkan jumlah kelahiran hidup IVF/ICSI. Larutan pemindahan yang mengandungi kepekatan asid hialuronik yang tinggi dapat mengurangkan sedikit kadar keguguran.


Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my.

Tools
Information