Induksi bersalin di rumah berbanding di wad

Apakah isunya?

Kami ingin mengetahui dari kajian-kajian terkawal secara rawak, (RCT) sama ada, setelah menjalani induksi bersalin di hospital atau kemudahan penjagaan kesihatan, wanita lebih suka pulang ke rumah atau tinggal di kemudahan itu untuk menunggu permulaan proses bersalin. Juga, untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang kesan terhadap hasil klinikal bagi para wanita atau bayi mereka.

Mengapakah ini penting?

Induksi bersalin menjelang akhir kehamilan melibatkan kontraksi secara buatan untuk memulakan proses bersalin. Terdapat risiko-risiko untuk ibu dan bayi akibat induksi, tetapi kadang-kadang risiko ini lebih kecil berbanding risiko melanjutkan kehamilan.

Walau bagaimanapun, induksi boleh menjadi pengalaman yang mencabar bagi wanita kerana mereka mungkin berasa tidak selesa, tidak disokong dan kurangnya kawalan. Penggunaan induksi bersalin di rumah mungkin dapat meningkatkan pengalaman wanita, mengurangkan tempoh tinggal di hospital dan menurunkan kos-kos keseluruhan. Keselamatan ibu dan bayi adalah faktor penting untuk dipertimbangkan. Hanya bentuk-bentuk induksi tertentu yang dianggap sesuai untuk induksi di rumah, misalnya, prostaglandin faraj atau kateter belon/Foley.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 31 Januari 2020 dan menemui tujuh RCT, enam daripadanya memberikan data mengenai 1610 wanita dan bayi mereka. Semua kajian ini dilakukan di negara-negara berpendapatan tinggi. Kepastian bagi bukti-bukti adalah kebanyakannya sangat rendah, terutamanya disebabkan oleh jumlah kajian yang terhad, yang mana beberapa di antaranya adalah kecil, dan kurang kejelasan dalam reka bentuk kajian.

Semua wanita menerima induksi dengan pemantauan awal di hospital. Wanita dalam kumpulan induksi di rumah kemudiannya dapat pulang untuk menunggu permulaan bersalin aktif, atau untuk jangka waktu yang ditetapkan. Wanita dalam kumpulan wad tinggal di hospital.

Bagi penggunaan prostaglandin vagina (PGE2) untuk induksi, kami menemui dua kajian dengan sejumlah 1022 wanita dan bayi mereka. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kepuasan wanita antara menunggu proses bersalin menjadi aktif di rumah atau di hospital, walaupun wanita cenderung untuk lebih berpuas hati apabila pulang ke rumah untuk menunggu. Bagi wanita, mungkin tiada perbezaan yang jelas dalam jumlah yang mempunyai kelahiran vagina secara spontan, rangsangan rahim yang berlebihan atau kelahiran Caesarean. Bagi bayi-bayi, mungkin terdapat kekerapan yang serupa bagi jangkitan dan kemasukan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU). Kosnya mungkin lebih rendah bagi induksi rumah.

Untuk induksi dengan perlepasan terkawal prostaglandin (PGE2) ke dalam faraj, kami menjumpai hanya satu kajian yang dilakukan terhadap 299 wanita dan bayi mereka tetapi penemuan menunjukkan kemungkinan ada sedikit atau tiada perbezaan.

Dengan menggunakan belon atau kateter Foley untuk induksi, kami menemui tiga kajian yang menyediakan data mengenai 289 wanita dan bayi mereka. Dua kajian melaporkan mengenai kepuasan wanita, dan menunjukkan kecenderungan untuk memilih induksi di rumah, tetapi cara pengumpulan data adalah tidak jelas. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kelahiran vagina spontan, rangsangan pengecutan rahim yang berlebihan dan bayi yang dimasukkan ke NICU. Induksi di rumah mungkin dapat mengurangkan jumlah kelahiran caesarean tetapi lebih banyak data adalah diperlukan.

Apakah maksudnya?

Kajian-kajian ini tidak merangkumkan jumlah wanita dan bayi yang mencukupi untuk menunjukkan perbezaan hasil yang jelas antara induksi bersalin di rumah dan di wad, dan kepastian bukti pada amnya adalah sangat rendah. Lebih banyak kajian adalah diperlukan, dan kajian lanjut sedang dijalankan. Kami memerlukan lebih banyak data mengenai pengalaman dan pandangan wanita mengenai penjagaan mereka, serta keselamatan dan kos.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information