Sokongan telefon berstruktur dan ‘telemonitoring’ tidak invasif dalam pengurusan orang dengan kegagalan jantung

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan sokongan telefon berstruktur dan ‘telepemonitoring’ tidak invasif dalam pengurusan orang dengan kegagalan jantung. Kami menemui 41 kajian. Dua dari kajian yang disertakan mengkaji kedua-dua sokongan telefon berstruktur dan ‘telemonitoring’ berbanding penjagaan biasa, oleh itu 43 perbandingan adalah terbukti. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2015.

Latar belakang

Dalam konteks pembiayaan kesihatan yang terhad dan populasi orang tua yang berkembang dengan cepat, semakin sukar untuk sistem penjagaan kesihatan menyediakan penjagaan berkualiti tinggi untuk orang dengan kegagalan jantung. Klinik pakar kegagalan jantung pelbagai disiplin hanya tersedia untuk sebilangan kecil orang dan tidak punyai keupayaan untuk memeriksa pesakit dengan kerap. Pesakit mungkin tidak rela atau tidak dapat kerap hadir ke klinik kerana kos, kesukaran pengangkutan atau ketidakupayaan dan kelemahan. Sokongan telefon berstruktur dan ‘telemonitoring’ boleh menyediakan penjagaan khusus untuk kegagalan jantung kepada sejumlah besar orang dengan akses yang terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 41 kajian setara teks penuh tentang sama ada sokongan telefon berstruktur atau ‘telemonitoring‘ di rumah dalam ulasan ini. Dua puluh lima kajian menilai sokongan telefon berstruktur (lapan kajian baharu, tambahan satu kajian yang disertakan sebelumnya kini dikelaskan sebagai ‘telemonitoring’; sejumlah 9332 peserta), 18 kajian menilai ‘telemonitoring’ (sembilan kajian baharu; sejumlah 3860 peserta) dan dua kajian menilai kedua-dua intervensi (disertakan dalam yang tersenarai).

Keputusan utama

Ulasan ini menunjukkan menyokong orang dengan kegagalan jantung di rumah menggunakan teknologi maklumat boleh mengurangkan kadar kematian dan hospitalisasi berkaitan kegagalan jantung. Ia boleh memperbaiki kualiti hidup dan pengetahuan tentang kegagalan jantung dan penjagaan kendiri. Kebanyakan pesakit, termasuk orang tua, belajar menggunakan teknologi dengan mudah dan berpuas hati dengan intervensi-intervensi tersebut.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti untuk hasil utama dalam ulasan ini (kematian semua sebab, hospitalisasi semua sebab dan hospitalisasi berkaitan kegagalan jantung) berdasarkan kriteria GRADE. Kami menilainya antara sangat rendah (hospitalisasi semua sebab) hingga sederhana (kematian semua sebab dan hospitalisasi berkaitan kegagalan jantung).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information