Intervensi diet dan senaman bagi mencegah penambahan berat badan berlebihan semasa hamil

Isu

Sebilangan besar wanita mengalami pertambahan berat badan melebihi daripada yang disyorkan semasa kehamilan. Penambahan berat badan berlebihan semasa hamil dikaitkan dengan komplikasi seperti diabetes, tekanan darah tinggi, pembedahan caesarean, dan bayi yang besar. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan sama ada penambah baik diet atau senaman, atau kedua-duanya, boleh mencegah penambahan berat badan berlebihan semasa hamil, dan adakah langkah-langkah tersebut selamat.

Cara kami menjalankan ulasan

Ini merupakan kemas kini semakan yang telah diterbitkan buat pertama kali pada 2012 dan ia adalah terkini setakat November 2014 dan melibatkan kajian terkawal secara rawak (RCTs) hanya dalam semakan terkini. Kami membahagikan kajian berdasarkan jenis intervensi, dan berdasarkan jenis peserta, contohnya wanita berat badan normal (kumpulan berisiko rendah), semua wanita hamil (kumpulan berisiko campuran), dan wanita berlebihan berat badan atau obes, atau wanita yang menghidap atau berisiko untuk menghidap diabetes semasa hamil (kumpulan berisiko tinggi).

Penemuan

Kami menyertakan 65 kajian terkawal secara rawak, di mana 49 kajian melibatkan 11,444 wanita yang menyumbangkan data. Dua puluh kajian adalah berisiko sederhana hingga tinggi untuk bias. Diet yang diuji adalah diet rendah gula (beban glisemik rendah), diet diabetis, diet rendah kalori atau diet rendah lemak, dengan atau tanpa diari makanan dan penimbangan berat badan yang tetap. Intervensi senaman lazimnya bertahap sederhana dan melibatkan berjalan kaki, tarian atau kelas aerobik yang tetap. Kumpulan kawalan atau perbandingan biasanya menerima penjagaan standard. Keseluruhannya, intervensi pengawalan berat badan membawa kepada pengurangan dalam bilangan wanita yang mengalami penambahan berat badan berlebihan sebanyak seperlima (20%, julat 13% hingga 27%) sepanjang kehamilan. Kami menganggap bukti ini berkualiti tinggi.

Keseluruhannya, kami tidak menemui manfaat yang jelas daripada semua intervensi diet atau senaman, atau kedua-duanya, terhadap kesan lain termasuk pre-eklampsia, pembedahan caesarean, kelahiran pramatang, dan melahirkan bayi dengan berat melebihi 4 kg (makrosomia), walaupun begitu kami tidak dapat mengetepikan kesan kecil terhadap pembedahan caesarean (pengurangan sebanyak 5%) dan makrosomia (pengurangan sebanyak 7%), terutamanya di kalangan wanita yang menerima gabungan intervensi kaunseling diet dan senaman. Terdapat kecenderungan untuk intervensi senaman yang diselia sahaja untuk turut mengurangkan makrosomia. Tekanan darah tinggi bagi ibu juga berkurang dengan intervensi. Kami menemui tiada perbezaan jelas antara kumpulan kajian berkenaan kebanyakan komplikasi bagi bayi, kecuali untuk wanita berisiko tinggi, bayi yang dilahirkan oleh wanita dalam kumpulan intervensi adalah kurang berkemungkinan untuk mengalami kesukaran bernafas (sindrom gangguan pernafasan) berbanding bayi dalam kumpulan kawalan. Bukti ini kebanyakannya berkualiti sederhana.

Kajian-kajian mempunyai perbezaan dari segi jenis intervensi, jenis peserta (contohnya dalam indeks jisim tubuh (BMI), bilangan kehamilan sebelumnya dan umur), pelaksanaan intervensi (sama ada intervensi telah diserapkan dalam pemeriksaan antenatal atau dilaksanakan berasingan oleh pakar diet), masa data diambil, masa intervensi dimulakan (trimester pertama, kedua atau ketiga), intensiti intervensi, dan bagaimana ia dipantau atau diselia. Kebanyakan kajian yang disertakan telah dijalankan di negara-negara maju dan tidak jelas sama ada hasil keputusan ini boleh diaplikasikan secara meluas untuk tempat atau komuniti yang berpendapatan rendah.

Kesimpulan

Kami menemui bukti berkualiti tinggi yang intervensi diet atau senaman, atau kedua-duanya, membantu mengurangkan penambahan berat badan berlebihan semasa hamil. Ia juga mungkin mengurangkan kelahiran secara pembedahan caesarean, terutamanya dengan gabungan intervensi diet dan senaman, dan juga mengurangkan berlakunya tekanan darah tinggi bagi ibu. Di samping itu, risiko untuk melahirkan bayi dengan berat melebihi 4 kg dan risiko untuk bayi yang baru lahir mengalami kesukaran bernafas selepas kelahiran mungkin berkurangan, terutamanya di kalangan wanita yang berlebihan berat badan dan obes. Senaman tahap sederhana merupakan bahagian penting dalam strategi pengawalan berat badan semasa hamil; walau bagaimanapun, lebih banyak kajian tentang kesan sampingan diperlukan untuk meletakkan garis panduan yang selamat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information