Adakah penambahan radioterapi kepada kemoterapi meningkatkan kelangsungan hidup atau meningkatkan kesan sampingan pada orang dewasa dengan limfoma Hodgkin peringkat awal berbanding dengan kemoterapi sahaja?

Mesej utama

– Terdapat potensi manfaat dalam kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit (kanser semakin teruk) atau kematian pada orang dengan limfoma Hodgkin (kanser sistem limfa, iaitu sebahagian daripada sistem imun yang melindungi anda daripada kuman dan bahan memudaratkan) dengan radioterapi tambahan dalam beberapa perbandingan. Terdapat data terhad mengenai kesan sampingan.

– Data adalah dari masa pemerhatian yang singkat, terutamanya untuk kematian dan kesan sampingan, yang mungkin berlaku lama selepas rawatan selesai.

Apakah limfoma Hodgkin?

Limfoma Hodgkin adalah kanser sistem limfa (iaitu sebahagian daripada sistem imun yang melindungi anda dari kuman dan bahan memudaratkan). Berdasarkan peringkat penyakit yang tertentu, ia dikelaskan sebagai peringkat awal atau peringkat lanjut. Faktor risiko seperti saiz kanser dan gejala-B (berpeluh malam, penurunan berat badan dan demam) digunakan untuk mengelaskan lagi kanser peringkat awal kepada penyakit awal yang berkesan dan penyakit awal yang tidak berkesan.

Bagaimanakah limfoma Hodgkin dirawat?

Limfoma Hodgkin adalah salah satu kanser yang paling boleh disembuhkan. Pilihan rawatan piawai termasuklah kemoterapi (ubat untuk membunuh sel kanser) atau kemoterapi dan radioterapi (radiasi yang diarahkan ke kanser). Teknik radiasi moden menggunakan dos yang dikurangkan dan radiasi yang lebih disasarkan, mengehadkan kesan sampingan yang berkaitan dengan radioterapi. Walau bagaimanapun, kesan sampingan seperti itu mungkin masih mengurangkan manfaat rawatan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menambahkan radioterapi pada kemoterapi menghasilkan tindak balas yang lebih baik daripada kemoterapi sahaja pada orang dewasa dengan limfoma Hodgkin peringkat awal. Kami melihat pada kelangsungan hidup keseluruhan (bilangan orang yang masih hidup), kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit (kanser tidak menjadi lebih teruk) atau kematian, dan kesan sampingan (seperti kematian yang berkaitan dengan jangkitan, kepada jantung dan saluran darah (sistem kardiovaskular), atau kanser sekunder; keupayaan untuk hamil).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan radioterapi dan kemoterapi berbanding kemoterapi sahaja pada orang dewasa dengan limfoma Hodgkin peringkat awal. Kami mengenal pasti lapan kajian yang melibatkan 3840 orang. Kami memisahkan kajian yang memilih orang berdasarkan faktor risiko mereka (berkesan, tidak berkesan, atau gabungan berkesan dan tidak berkesan). Kami juga melihat pada perbandingan yang memberikan bilangan kitaran yang sama dan berbeza kepada setiap kumpulan orang. Kitaran adalah tempoh rawatan kemoterapi yang diberikan untuk masa yang dipilih diikuti dengan tempoh rehat untuk membolehkan tubuh pulih.

Apakah yang kami temui?

Kemoterapi berbanding kemoterapi dan radioterapi dengan bilangan kitaran kemoterapi yang sama

Pada orang dengan limfoma Hodgkin awal yang berkesan, adalah tidak jelas sama ada radioterapi tambahan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup keseluruhan, tetapi kemungkinan meningkatkan kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit atau kematian (kedua-dua 2 kajian, 1245 orang). Kami tidak tahu sama ada ia mempunyai kesan terhadap kematian disebabkan oleh kanser sekunder (2 kajian, 1245 orang). Radioterapi tambahan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian berkaitan kardiovaskular (1 kajian, 667 orang). Tiada data untuk kematian yang berkaitan dengan jangkitan.

Dalam populasi campuran orang, kami tidak tahu sama ada radioterapi tambahan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup keseluruhan, tetapi ia boleh meningkatkan kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit atau kematian (kedua-dua 2 kajian, 572 orang). Tidak jelas sama ada ia mempunyai kesan terhadap kematian berkaitan jangkitan atau kanser sekunder (kedua-dua 2 kajian, 572 peserta), tetapi mungkin meningkatkan kematian berkaitan kardiovaskular (1 kajian, 420 peserta).

Pada orang dengan penyakit awal yang tidak berkesan, tidak jelas jika radioterapi tambahan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup keseluruhan (2 kajian, 688 peserta), tetapi mungkin meningkatkan sedikit kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit atau kematian (1 kajian, 651 peserta). Tidak jelas sama ada ia mempunyai kesan terhadap kematian berkaitan kardiovaskular (1 kajian, 37 orang). Tidak ada data mengenai kematian berkaitan jangkitan atau kanser sekunder.

Kemoterapi berbanding kemoterapi dan radioterapi dengan bilangan kitaran kemoterapi yang berbeza

Pada orang dengan limfoma Hodgkin awal yang berkesan, kami tidak tahu sama ada radioterapi tambahan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup keseluruhan, tetapi ia mungkin meningkatkan kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit atau kematian (kedua-duanya 1 kajian, 357 orang). Tidak jelas adakah ia mempunyai kesan terhadap kematian berkaitan kanser sekunder (1 kajian, 465 orang). Tidak ada data mengenai kematian berkaitan jangkitan atau sistem kardiovaskular.

Pada orang dengan limfoma Hodgkin awal yang tidak berkesan, radioterapi tambahan boleh mengurangkan sedikit kelangsungan hidup keseluruhan, tetapi ia boleh meningkatkan sedikit kelangsungan hidup tanpa perkembangan penyakit atau kematian (kedua-dua 2 kajian, 698 orang). Tidak jelas sama ada ia mempunyai kesan terhadap kematian berkaitan jangkitan (1 kajian, 276 orang), kanser sekunder, dan sistem kardiovaskular (kedua-dua 2 kajian, 870 orang).

Tiada kajian yang melaporkan data mengenai keupayaan untuk hamil.

Apakah batasan bukti?

Kami kurang yakin terhadap bukti untuk kebanyakan hasil yang dinilai, terutamanya kelangsungan hidup keseluruhan dan kesan sampingan. Ini disebabkan oleh kaedah yang buruk, dan sedikit kajian, orang, atau peristiwa dalam kajian. Rejimen kemoterapi dalam kajian berbeza. Kami mengenal pasti tiada kajian berterusan untuk menambah bukti ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan adalah terkini sehingga November 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Tan Wing (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information