Cerebrolysin untuk angin ahmar iskemia akut

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui seberapa baik ubat yang dipanggil Cerebrolysin berfungsi untuk merawat angin ahmar.

Apakah itu angin ahmar?

Angin ahmar ialah serangan kelemahan secara tiba-tiba yang biasanya menjejaskan satu bahagian badan. Ia berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terputus, yang menghentikan bekalan oksigen dan nutrien ke sel-sel otak. Jika bekalan darah ke otak dihentikan, sel-sel otak mula mati. Ini boleh menyebabkan kecederaan otak, kehilangan upaya, dan kemungkinan kematian.

Angin ahmar iskemia adalah jenis angin ahmar yang paling lazim. Angin ahmar iskemia berlaku apabila aliran darah disekat oleh darah beku atau cebisan bahan berlemak di dalam arteri.

Mengapakah ulasan ini penting?

Angin ahmar adalah keadaan kecemasan perubatan, dan rawatan segera adalah sangat penting. Angin ahmar iskemia biasanya dirawat dengan kombinasi ubat untuk mencegah dan melarutkan darah beku, menurunkan tekanan darah, dan menurunkan tahap kolesterol.

Cerebrolysin adalah campuran protein yang ditulenkan dari otak khinzir. Sebilangan protein dalam Cerebrolysin dijumpai secara semula jadi dalam otak manusia dan mungkin membantu melindungi dan memperbaiki sel-sel otak. Cerebrolysin biasanya digunakan di beberapa negara sebagai rawatan untuk angin ahmar.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada penggunaan Cerebrolysin untuk merawat angin ahmar iskemia akut. Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima peserta adalah ditentukan secara rawak, kerana kajian-kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai rawatan.

Tarikh carian: Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Oktober 2019.

Apa yang kami temui

Kami menemui tujuh kajian dengan 1601 orang yang mengalami angin ahmar iskemia akut. Kajian-kajian tersebut melihat kepada kesan pemberian Cerebrolysin bersama ubat-ubatan untuk mencegah dan melarutkan darah beku (terapi piawai) semasa 48 jam pertama selepas angin ahmar. Kajian-kajian tersebut membandingkan rawatan ini dengan terapi piawai sahaja atau terapi piawai ditambah rawatan palsu (plasebo).

Kajian-kajian itu dijalankan di hospital-hospital di Austria, Croatia, Republik Czech, Hungary, Rusia, Slovakia, Slovenia, China, Hong Kong, Iran, Myanmar, dan Korea Selatan, dan berlangsung dari 28 hari hingga 90 hari.

Keputusan ulasan kami

Menambahkan Cerebrolysin kepada terapi piawai mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kematian daripada sebarang sebab selepas angin ahmar (6 kajian; 1517 orang).

Cerebrolysin ditambahkan kepada terapi piawai mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada:
• jumlah orang yang mengalami kesan tidak diingini yang serius (kesan yang mengancam nyawa yang boleh menyebabkan kematian, kehilangan upaya, atau tinggal di hospital lebih lama) (4 kajian; 1435 orang);
• jumlah kesan tidak diingini yang serius yang menyebabkan kematian (3 kajian; 1335 orang).

Walau bagaimanapun, lebih banyak orang yang diberi gabungan Cerebrolysin dan terapi piawai mengalami kesan tidak diingini yang serius yang tidak membunuh mereka daripada mereka yang diberi terapi piawai (bersendirian atau dengan plasebo) (4 kajian; 1435 orang).

Cerebrolysin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap jumlah orang yang mengalami sebarang kesan tidak diingini yang kurang serius (4 kajian; 1435 orang).

Kami tidak pasti sama ada menambahkan Cerebrolysin kepada terapi piawai membuat sebarang perbezaan kepada bilangan orang yang menarik diri dari kajian (6 kajian; 1517 orang).

Kami tidak menemui bukti yang mencukupi mengenai bagaimana Cerebrolysin mempengaruhi:
• risiko kematian atau memerlukan rawatan berterusan pada akhir kajian;
• risiko kematian dalam tempoh dua minggu mengalami angin ahmar;
• masa yang diambil untuk orang dapat kembali bekerja; atau
• kesejahteraan (kualiti hidup) orang.

Keyakinan kami terhadap keputusan

Kami berkeyakinan sederhana dengan keputusan ulasan ini. Walau bagaimanapun, bukti berasal dari jumlah kajian yang kecil. Empat kajian melibatkan syarikat farmaseutikal yang membuat Cerebrolysin, yang mungkin mempengaruhi bagaimana kajian-kajian tersebut direka, dijalankan, dan dilaporkan. Kesimpulan kami berkemungkinan berubah jika hasil kajian lanjutan tersedia.

Kesimpulan

Menambahkan Cerebrolysin kepada terapi piawai selepas angin ahmar iskemia mungkin:
• tidak mengurangkan risiko kematian;
• tidak mempengaruhi bilangan orang yang mengalami kesan tidak diingini yang serius keseluruhannya; tetapi
• meningkatkan jumlah kesan tidak diingini yang serius, dan tidak membawa maut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my