Bolehkah intervensi muzik memberi manfaat kepada pesakit-pesakit kanser?

Isu
Kanser boleh menyebabkan penderitaan emosi, fizikal dan sosial yang meluas. Rawatan kanser semasa semakin menggabungkan intervensi psikososial untuk meningkatkan kualiti hidup. Terapi muzik dan intervensi perubatan muzik telah digunakan untuk mengurangkan tanda-tanda dan kesan sampingan rawatan dan menumpukan perhatian terhadap keperluan psikososial pesakit kanser. Dalam intervensi perubatan muzik, pesakit hanya mendengar muzik yang dirakamkan terdahulu yang ditawarkan oleh pakar perubatan. Terapi muzik memerlukan implementasi suatu intervensi muzik oleh ahli terapi muzik terlatih, kewujudan suatu proses terapeutik dan penggunaan pengalaman muzik yang disesuaikan secara peribadi.

Tujuan ulasan ini
Ulasan ini adalah kemas kini ulasan Cochrane sebelumnya dari 2011, yang merangkumi 30 kajian dan mendapati sokongan tentang kesan intervensi muzik terhadap beberapa hasil psikologi dan fizikal. Dalam pengemaskinian ulasan ini, kami mencari kajian-kajian tambahan yang mengkaji kesan intervensi muzik terhadap hasil psikologi dan fizikal pada pesakit dengan kanser. Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan dan yang masih berterusan sehingga Januari 2016. Kami mempertimbangkan semua kajian di mana terapi muzik atau perubatan muzik telah dibandingkan dengan rawatan standard sahaja atau rawatan standard bergabung dengan rawatan lain atau plasebo.

Apakah penemuan utama?
Kami mengenal pasti 22 kajian baru, oleh itu, bukti dalam ulasan terkini ini mempunyai 52 kajian dengan 3731 peserta. Penemuan kajian mencadangkan bahawa terapi muzik dan intervensi perubatan muzik mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap keresahan, kesakitan, keletihan, kadar nadi, kadar pernafasan dan tekanan darah dalam kalangan pesakit kanser. Disebabkan kualiti bukti sangat rendah untuk kemurungan, ia adalah tidak jelas tentang kesan intervensi muzik yang mungkin ada. Terapi muzik tetapi bukan intervensi perubatan muzik mungkin boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit. Kami tidak dapat mencari bukti tentang intervensi muzik untuk meningkatkan perasaan hati, mengurangkan kesusahan atau meningkatkan fungsi fizikal, walau bagaimanapun hanya beberapa kajian sahaja yang menilai hasil-hasil kajian ini. Kami tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan tentang kesan intervensi muzik terhadap fungsi imunologi, keupayaan menghadapi penyakit, ketabahan atau komunikasi kerana tidak cukup kajian yang menilai aspek-aspek ini. Oleh itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Tiada kesan buruk intervensi muzik dilaporkan.

Kualiti bukti
Kebanyakan kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, oleh itu keputusan kajian perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Kami tidak mengenal pasti apa-apa konflik kepentingan dalam kajian-kajian yang dimasukkan.

Apakah kesimpulannya?
Kami membuat kesimpulan bahawa intervensi muzik mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap kebimbangan, kesakitan, keletihan dan kualiti hidup(QoL) dalam pesakit dengan kanser. Selain itu, muzik mungkin ada kesan positif yang kecil terhadap kadar nadi, kadar pernafasan dan tekanan darah. Mengurangkan keresahan, keletihan dan kesakitan adalah hasil kajian yang penting bagi pesakit dengan kanser, memandangkan kesemua ini mempunyai kesan terhadap kesihatan dan QoL keseluruhan. Oleh itu, kami mengesyorkan pertimbangan untuk memasukkan terapi muzik dan intervensi perubatan muzik dalam penjagaan psikososial kanser.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia), Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Tools
Information
Share/Save