Langkau ke kandungan utama

Pengairan hidung menggunakan larutan garam untuk gejala jangkitan saluran udara atas akut

Persoalan ulasan
Adakah penambahan semburan hidung menggunakan larutan garam atau basuhan kepada penjagaan biasa atau plasebo mengurangkan keterukan gejala atau mempercepatkan pemulihan orang dewasa dan kanak-kanak dengan gejala selesema dan flu yang telah ada kurang dari empat minggu?

Latar belakang
Jangkitan saluran pernafasan atas akut (URTI) termasuk selesema, influenza dan jangkitan tekak, hidung atau sinus. Ia biasanya merupakan jangkitan virus sendiri yang terhad, walaupun kadang-kadang gejala boleh berterusan selama berminggu-minggu melebihi penghabisan jangkitan awal, dengan atau tanpa pembentukan jangkitan bakteria sekunder. Matlamat rawatan terutamanya adalah untuk melegakan gejala, walaupun beberapa rawatan boleh mempunyai peranan dalam mengurangkan tempoh gejala pasca virus, seperti batuk. Semburan hidung menggunakan larutan garam dan basuhan isipadu besar untuk hidung telah menjadi lebih dikenali sebagai salah satu daripada banyak pilihan rawatan untuk URTI, dan ia telah terbukti mempunyai beberapa keberkesanan untuk sinusitis kronik dan selepas pembedahan hidung. Walau bagaimanapun, sedikit yang diketahui mengenai keberkesanannya dalam rawatan URTI akut atau gejala mana yang ia boleh jadi berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti lima kajian, dengan sejumlah 749 peserta mendaftar dan 565 peserta memberikan data, yang menjelaskan soalan penyelidikan dan memenuhi kriteria kemasukan. Semuanya membandingkan pengairan larutan garam dengan penjagaan rutin atau semburan hidung yang lain. Kajian-kajian ini merangkumi pelbagai peringkat umur, negara, saiz sampel, kaedah dan kekerapan dos, dan masa sejak permulaan gejala URTI. Kajian ini juga sangat pelbagai dalam reka bentuk dan gejala yang diukur. Hal ini tidak menghairankan disebabkan oleh kekurangan ukuran konsisten gejala dan tanda URTI. Ini menghasilkan sangat sedikit ukuran hasil umum yang dapat digabungkan antara lima kajian ini. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2014.

Keputusan utama
Dua kajian tambahan yang disertakan sejak ulasan sistematik asal tidak menyumbang data dengan ukuran atau kualiti yang mencukupi untuk mengubah penemuan asal secara ketara. Hanya kajian terbesar, yang mengkaji 401 kanak-kanak berumur 6 hingga 10 tahun, menemui pengurangan yang ketara dalam beberapa gejala, termasuk rembesan hidung, sakit tekak, skor pernafasan hidung dan penyumbatan hidung, serta pengurangan penggunaan ubat dekongestan hidung tambahan. Ia juga melaporkan peningkatan yang ketara dalam skor status kesihatan. Terdapat pengurangan bagi hasil masa sehingga penyelesaian gejala, yang dilaporkan dalam dua kajian pada peserta dewasa, tetapi perbezaannya adalah tidak ketara secara klinikal. Semburan hidung menggunakan larutan garam adalah selamat tetapi boleh menyebabkan kesan buruk kecil, seperti kerengsaan atau rasa terbakar, terutamanya pada produk yang menggunakan aliran atau kepekatan yang lebih tinggi.

Kualiti bukti
Kebanyakan kajian adalah kecil dan mempunyai kelemahan yang ketara dalam reka bentuk atau pelaksanaan penyelidikan. Kajian lanjut, sebaik-baiknya bersaiz lebih besar dan menggunakan ukuran hasil yang biasa, adalah diperlukan untuk menentukan potensi peranan pengairan hidung menggunakan larutan garam dalam mengurangkan keterukan dan tempoh gejala URTI akut, jangkitan sekunder dan kemungkinan menggunakan antibiotik.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
King D, Mitchell B, Williams CP, Spurling GKP. Saline nasal irrigation for acute upper respiratory tract infections. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 4. Art. No.: CD006821. DOI: 10.1002/14651858.CD006821.pub3.