Rawatan kortikosteroid yang berbeza sebelum kelahiran awal untuk meningkatkan hasil untuk bayi

Apakah isunya?

Bayi yang dilahirkan awal (sebelum 37 minggu kehamilan, yang dianggap sebagai kelahiran pramatang) berisiko lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan. Ini termasuk masalah paru-paru (sindrom gangguan pernafasan), pendarahan otak (pendarahan intraventrikular) dan kematian. Ubat-ubat dipanggil kortikosteroid diberikan kepada ibu semasa masih hamil untuk membantu menghentikan masalah-masalah ini berlaku serta terdapat bukti berkesan tinggi bahawa ia berkesan dalam mencegah banyak masalah tersebut. Ubat-ubatan ini berfungsi dengan mematangkan paru-paru bayi sebelum dilahirkan. Terdapat pelbagai jenis kortikosteroid dan ia boleh diberikan dengan cara yang berbeza serta dalam dos yang berbeza. Walaupun kami tahu bahawa memberi ibu yang berisiko kelahiran awal dengan kortikosteroid memberi manfaat kepada bayi, kami tidak tahu jenis kortikosteroid yang paling bermanfaat dan paling tidak berbahaya untuk ibu dan bayi.

Mengapakah ini penting?

Memandangkan tiada jenis atau dos terbaik yang jelas atau dipersetujui, hospital mungkin memberi ubat ini dengan cara yang berbeza. Ulasan ini menilai semua bukti tersedia daripada kajian rawak terkawal (di mana rawatan yang diterima oleh orang ramai diagihkan secara rawak; kajian seperti ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan) untuk menentukan ubat dan cara pemberian ubat yang terbaik untuk ibu dan bayi. Kami juga ingin mengetahui kesan ubat-ubatan selepas bayi membesar menjadi kanak-kanak dan orang dewasa.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti pada 9 Mei 2022, dan telah mengenal pasti 18 percubaan. Kami menyemak semua kajian untuk kebolehpercayaan dan tidak memasukkan kajian yang kami mempunyai keraguan. Kami menyertakan 11 kajian (2494 wanita dan 2762 bayi). Salah satu daripada kajian ini termasuk lebih 1500 bayi, tamat pada 2013 dan berisiko rendah berat sebelah. Kajian lain adalah lebih kecil, lebih lama serta berisiko berat sebelah yang sederhana atau tinggi.

Sembilan kajian membandingkan dua kortikosteroid yang paling biasa digunakan sebelum kelahiran awal, dexamethasone dan betamethasone. Bagi ibu, walaupun mungkin tiada perbezaan antara ubat-ubatan ini, kami tidak boleh menolak kemungkinan bahawa risiko jangkitan dan kesan-kesan sampingan adalah lebih rendah dengan dexamethasone (bukti berkualiti sederhana). Untuk bayi, kami tidak pasti sama ada pilihan ubat memberi perbezaan dalam risiko sebarang kematian selepas permulaan kajian (bukti berkualiti sederhana). Pilihan ubat mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko sindrom gangguan pernafasan (bukti berkualiti tinggi) dan penyakit paru-paru kronik (bukti berkualiti sederhana). Kami mendapati bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara dexamethasone dan betamethasone dalam risiko pendarahan intraventrikular (bukti berkualiti rendah). Kami tidak pasti sama ada pilihan ubat membuat perbezaan kepada risiko enterokolitis nekrotikans (keradangan usus kecil dan usus besar), kerana ini jarang berlaku dalam kajian (bukti berkualiti rendah).

Satu kajian besar cuba untuk memantau semua kanak-kanak jangka panjang, melaporkan hasil apabila kanak-kanak berumur dua tahun. Kajian ini mendapati bahawa secara keseluruhan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko kecacatan perkembangan saraf (penyakit yang menjejaskan cara otak berfungsi) pada usia dua tahun (bukti berkualiti sederhana). Pilihan ubat mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada hasil perkembangan tertentu termasuk gangguan pendengaran (bukti berkualiti sederhana), kelewatan perkembangan (bukti berkualiti sederhana) atau masalah pembelajaran (bukti berkualiti sederhana). Ia tidak jelas sama ada pilihan ubat membuat perbezaan kepada kecacatan penglihatan (bukti berkualiti rendah). Kami juga tidak pasti sama ada dexamethasone meningkatkan risiko kelumpuhan cerebral (sekumpulan gangguan yang menjejaskan keupayaan untuk bergerak dan mengekalkan keseimbangan dan postur) kerana terdapat beberapa peristiwa dalam satu kajian yang melihat perkara ini. Kami memerlukan maklumat daripada lebih ramai kanak-kanak untuk menilai dengan tepat perbezaan antara ubat-ubatan ini untuk hasil tersebut (bukti berkualiti rendah).

Tiga kajian membandingkan cara berbeza untuk memberi kortikosteroid. Satu kajian membandingkan dua cara pemberian dexamethasone (melalui mulut atau suntikan ke dalam otot), kajian lain membandingkan persediaan betamethasone yang berbeza malah kajian ketiga membandingkan dua cara pemberian betamethasone (selang masa yang berbeza antara dos). Oleh kerana kajian-kajian ini kecil dan berisiko berat sebelah yang sederhana, kami tidak tahu sama ada penemuan mereka memberikan petunjuk yang baik tentang cara terbaik untuk memberi ubat-ubatan ini.

Apakah maksudnya?

Walaupun kami mendapati bahawa kesan dexamethasone dan betamethasone mungkin serupa untuk banyak hasil, kami tidak pasti kortikosteroid yang mana lebih baik dalam konteks kelahiran awal. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melaporkan kesan ubat melebihi umur dua tahun, oleh itu kami tidak boleh mengulas tentang kesan jangka panjangnya terhadap kesihatan kanak-kanak.

Kami tidak menjumpai banyak bukti tentang cara terbaik untuk memberikan kortikosteroid, oleh itu kami tidak dapat mengatakan sama ada satu cara lebih baik daripada yang lain.

Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menentukan ubat yang terbaik dan cara terbaik untuk memberikan ubat, serta bayi dalam kajian-kajian ini perlu dipantau dalam tempoh yang lama untuk melihat kesan atas perkembangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information