Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang berapa lama tempoh rawatan antibiotik intravena (antibiotik yang diberi secara terus ke dalam salur darah) yang diperlukan untuk menghilangkan gejala jangkitan paru-paru dalam kalangan pesakit fibrosis sista.
Latar belakang
Tanda-tanda timbulnya gejala (eksaserbasi) pada pesakit fibrosis sista dirawat secara agresif untuk mencegah kerosakan paru-paru yang lebih teruk. Amalan ini telah membawa kepada kadar survival yang lebih baik bagi pesakit fibrosis sista dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, tiada panduan jelas tentang tempoh rawatan antibiotik intravena yang perlu bagi merawat eksaserbasi tersebut. Pusat yang berlainan cenderung untuk menggunakan rejimen rawatan yang berbeza. Kebanyakan pusat menggunakan 10 atau 14 hari, dan memanjangkan tempoh ini kepada 21 hari sekiranya tiada perubahan pada gejala pesakit. Ini merupakan kemaskini bagi ulasan terbitan sebelumnya.
Tarikh carian
Bukti ini adalah terkini sehingga: 30 Mei 2019.
Ciri-ciri kajian
Tiada kajian lengkap yang telah membuktikan perbezaan tempoh rawatan antibiotik intravena, tetapi ada satu kajian yang sedang menjawab persoalan ini. Sebaik sahaja keputusan kajian tersebut diterbitkan, kami bercadang untuk memasukkannya ke dalam ulasan ini.
Keputusan utama
Kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk mencari tempoh yang terbaik untuk merawat eksaserbasi. Jangka masa rawatan yang lebih pendek mungkin lebih baik kerana rawatan ini adalah lebih mudah untuk diikuti dan dilengkapkan. Ia juga kurang mahal dan menyebabkan kurang reaksi ubat-ubatan berbanding rawatan yang lebih panjang tempohnya. Namun, ianya tidak jelas sekiranya rawatan dengan tempoh masa lebih pendek adalah mencukupi untuk merawat jangkitan. Ianya juga tidak jelas sekiranya rawatan dengan tempoh lebih pendek menyebabkan episod pengulangan awal atau pertambahan kekerapan jangkitan paru-paru.
Diterjemahkan oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my