Rawatan pencair darah untuk rawatan jangka panjang darah beku dikalangan pesakit kanser

Latar belakang
Pesakit kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk terjadinya darah beku di dalam salur darah dan mereka ini mungkin mempunyai respon yang berbeza terhadap jenis pencair darah yang berbeza (antikoagulan).

Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian klinikal yang melihat kesan jangka panjang rawatan dengan pencair darah yang berbeza ke atas kejadian pembekuan darah yang berulang dikalangan penghidap kanser yang telah disahkan diagnosisnya sebagai ‘deep venous thrombosis’ (darah beku didalam vena dalam kaki dan tangan) atau embolisme pulmonari (darah beku didalam paru-paru) didalam pengkalan data saintifik. Kami memasukkan semua jenis kajian yang melibatkan semua kanser tanpa mengambil kira jenis rawatan kanser. Kajian-kajian ini melihat kepada kelangsungan hidup, kejadian darah beku yang berulang, pendarahan dan jumlah platelet (yang terlibat dalam pembekuan darah). Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Hasil utama kajian
Kami mendapati 18 kajian mendaftarkan peserta dengan kanser dan pembekuan darah. Kajian mendapati heparin molekul rendah (LMWHs; sejenis pencair darah yang disuntik ke dalam vena) lebih berkesan berbanding antagonis vitamin K (VKAs; sejenis pencair darah yang diambil melalui mulut (oral)) dalam mengurangkan kejadian darah beku yang berulang. Data sedia ada tidak memberikan jawapan yang jelas tentang kesan ubat-ubatan ini ke atas kadar kematian ataupun pendarahan sebagai kesan sampingan. Kajian juga mendapati antikoagulan oral secara langsung (DOACs; sejenis lagi pencair darah yang diambil melalui mulut) mungkin mengurangkan kejadian darah beku yang berulang berbanding LMWH tetapi risiko pendarahan meningkat. Tiada bukti jelas apabila membandingkan DOACs (jenis pencair darah oral yang baru) dan VKAs (jenis pencair darah oral yang lebih lama) ke atas kadar kematian,kejadian darah beku yang berulang dan pendarahan.

Kebolehpercayaan bukti
Bila membandingkan LMWHs dengan VKAs, kami mendapati bahawa kepastian bukti sebagai sederhana bagi kejadian darah beku yang berulang, kadar kematian dalam masa setahun dan pendarahan yang banyak, dan bukti yang rendah bagi pendarahan ringan.

Bila membandingkan DOACs dengan VKAs , kami memberi mendapati kepastian bukti sebagai rendah bagi kadar kematian, kejadian darah beku yang berulang dan komplikasi pendarahan.

Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baru untuk mengemaskini ulasan di mana ulasan dikemaskini secara berterusan, memasukkan bukti baru yang relevan sebaik sahaja ianya diperolehi. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information