Rawatan ambliopia (‘lazy eye’) dengan penutup mata atau rawatan titisan/ubat

Apakah matlamat ulasan ini?
Di dalam ulasan sistematik ini, kami berhasrat merumuskan bukti terbaik tentang keberkesanan dan keselamatan oklusi konvensional (penutup mata) dan ‘penalization’ atropin (titisan) sebagai rawatan untuk ambliopia (‘lazy eye’).

Mesej-mesej utama
Kami mendapati bukti yang mencadangkan penutup mata konvensional dan titisan atropin menyebabkan pembaikan penglihatan yang sama.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Ambliopia (‘lazy eye’) adalah keadaan kanak-kanak yang lazim dan ditakrif sebagai penglihatan yang lemah di dalam satu atau kedua-dua mata. ;Lazy eye’ muncul tanpa masalah yang jelas dengan laluan visual dan tidak dapat diperbaiki segera dengan memakai cermin mata. Rawatan untuk ‘lazy eye’ sering bermula dengan mempreskrib kaca mata yang sesuai untuk membetulkan sebarang kecacatan optikal diikuti dengan menggalakkan penggunaan ‘lazy eye’ (lemah). Ulasan sistematik ini membandingkan dua rawatan yang digunakan untuk menggalakkan penggunaan mata yang lebih lemah: meliputi mata yang lebih kuat untuk bilangan jam yang ditetapkan setiap hari, dan titisan atropin (atropin sulfat) untuk mengaburkan penglihatan mata yang lebih baik.

Apakah keputusan utama ulasan?
Kemas kini kami versi terdahulu ulasan ini memasukkan tujuh kajian dengan sejumlah 1177 mata ambliopia. Bukti daripada enam kajian (dua kajian dengan kualiti metodologi yang baik) mencadangkan kedua-dua penutup mata dan titisan atropin menghasilkan pembaikan ketajaman visual dalam jangka pendek (satu hingga enam bulan) dan jangka panjang (24 bulan) pada mata yang lemah selepas memulakan rawatan. Kami mendapati tiada perbezaan di antara kedua-dua rawatan dalam meluruskan mata, persepsi kedalaman, atau penglihatan pada mata yang lebih baik. Kedua-dua rawatan tersebut diterima dengan baik. Titisan atropin diambil lebih kerap berbanding penggunaan penutup mata dan ia dikaitkan dengan kualiti hidup yang lebih baik, tetapi penglihatan kabur dan sensitiviti kepada cahaya lebih lazim pada mata yang dirawat dengan atropin. Iritasi kulit, kelopak mata atau konjunktiva lebih lazim dalam kalangan peserta yang menerima penutup mata berbanding mereka yang menerima atropin.

Adakah ulasan ini terkini?
Ulasan ini adalah yang terkini sehingga 7 September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save