Intervensi-intervensi untuk mengelak penambahan berat badan selepas berhenti merokok

Kebanyakkan orang mengalami penambahan berat badan semasa berhenti merokok. Ramai perokok bimbang tentang perkara ini dan mengatakan bahawa ini boleh menghalang mereka dalam membuat percubaan untuk berhenti merokok. Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa penambahan berat badan juga akan menyebabkan orang kembali merokok setelah percubaan berhenti merokok pertama berjaya. Sebaliknya,terdapat alasan yang baik untuk mempercayai bahawa percubaan untuk menyekat penambahan berat badan boleh mengurangkan peluang untuk berhenti merokok. Beberapa ubat dan program-program tingkah laku yang bertujuan untuk menghadkan penambahan berat badan selepas berhenti merokok telah diuji. Di antara rawatan ubat-ubatan, naltrexone telah menunjukkan kesan yang paling berpotensi, tetapi tiada data mengenai kesannya terhadap berat badan apabila berhenti rawatan tersebut dan tiada bukti mencukupi untuk menilai kesannya ke atas pemberhentian rokok jangka masa panjang. Pendidikan pengurusan berat badan sahaja tidak dapat menghadkan penambahan berat badan dan boleh menjejaskan usaha berhenti merokok. Pendidikan pengurusan berat badan dengan sokongan peribadi yang memberi maklum balas tentang matlamat peribadi dan preskripsi tenaga peribadi dapat mengehadkan penambahan berat badan dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia mempengaruhi pemberhentian merokok. Penggunaan VLCD secara berselang-selang meningkatkan kejayaan dalam berhenti merokok dan penambahan berat badan dalam jangka masa pendek tetapi bukan dalam jangka masa panjang.

Terdapat rawatan pemberhentian merokok yang dapat mengehadkan penambahan berat badan. Bupropion, fluoxetine, NRT dan varenicline kesemuanya mengehadkan penambahan berat badan semasa rawatan, tetapi kesannya untuk mengurangkan penambahan berat badan berkurangan selepas rawatan tersebut dihentikan serta bukti adalah tidak mencukupi untuk memastikan kesan ini dapat diteruskan dalam jangka masa panjang. Terdapat beberapa bukti yang mencadangkan bahawa senaman dapat mengurangkan penambahan berat badan selepas berhenti merokok, tetapi lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk menerangkan sama ada ini adalah suatu penemuan yang didapati secara kebetulan. Kesan daripada semua intervensi adalah sederhana dalam hubungan dengan purata penambahan berat badan selepas berhenti merokok.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save