Penggunaan antibiotik untuk mengurangkan jangkitan pada bayi yang terdedah kepada mekonium

Apakah isunya?

Kira-kira 1 dalam setiap 10 kehamilan, bayi akan terdedah kepada mekonium semasa kelahiran. Mekonium ialah najis pertama bayi. Jika bayi mengeluarkan najis sebelum lahir, cecair amniotik yang mengandungi najis boleh memasuki paru-paru bayi dan mungkin menyebabkan kesukaran bernafas dan membuat bayi berisiko untuk jangkitan dan keradangan paru-paru dan badan.

Mengapakah isu ini penting?

Jangkitan/radang paru-paru boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kurang paras oksigen dan pneumonia. Antibiotik telah digunakan untuk mencegah jangkitan pada bayi yang terdedah kepada mekonium dalam proses kelahiran.

Apakah bukti yang didapati?

Kami mencari kesusasteraan perubatan kajian-kajian yang sesuai sehingga Jun 2016. Kami mendapati empat kajian yang membandingkan pengunaan antibiotik berbanding plasebo untuk mengurangkan jangkitan dalam kalangan bayi yang lahir dengan cecair amniotik yang bertanda mekonium. Dua kajian adalah berkualiti baik, dan dua lagi kajian tidak mengandungi beberapa butiran mengenai kaedah kajian. Empat kajian ini melibatkan 695 bayi, yang diberi pelbagai antibiotik atau ditempatkan dalam kumpulan kawalan (tidak diberi antibiotik). Para penyelidik menilai pelbagai jenis antibiotik dan tempoh rawatan. Secara keseluruhan, tiada perbezaan didapati dalam kadar jangkitan atau kematian di antara kedua-dua kumpulan. Kami menilai bukti tersebut sebagai berkualiti rendah kerana reka bentuk kajian yang berkualiti rendah dan bilangan kecil bayi.

Apakah maksudnya?

Kami tidak pasti sama ada antibiotik mempunyai kesan penting bagi jangkitan pada bayi yang terdedah kepada cecair amniotik yang bertanda mekonium. Keputusan kami adalah tidak jitu, dan lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti peranan antibiotik dalam keadaan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ting Ling Kweh (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi tlkweh@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save