Apakah manfaat dan risiko ubat homeopati oral dalam mencegah dan merawat jangkitan saluran pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak?

Mesej utama

Homeopati adalah sejenis perubatan pelengkap dan alternatif. Ia berdasarkan dua idea utama: bahawa bahan yang boleh menyebabkan penyakit atau gejala dalam kalangan orang yang sihat boleh, dalam dos yang sangat kecil, merawat gejala tersebut dalam kalangan orang yang tidak sihat; dan molekul dalam bahan yang sangat cair mengekalkan memori bahan asal. Akibat kekurangan bukti kukuh, manfaat dan risiko ubat homeopati oral untuk mencegah dan merawat jangkitan saluran pernafasan akut (ARTI) dalam kalangan kanak-kanak adalah tidak jelas. Kajian-kajian yang berkualiti rendah dalam reka bentuk dan pelaporan sering mencadangkan manfaat yang mungkin untuk ubat homeopati oral, tetapi kajian kualiti lebih tinggi tidak menunjukkan manfaat.

Apakah jangkitan saluran pernafasan?

Jangkitan respiratori lazim disebabkan oleh virus, terutamanya selesema dan influenza, walaupun sesetengah jangkitan paru-paru dan telinga disebabkan oleh bakteria. Mungkin sukar untuk membezakan jangkitan ini, dan kadangkala ia berlaku serentak. Kebanyakan jangkitan sedemikian beransur pulih tanpa rawatan, tetapi kadangkala simptom berterusan selepas jangkitan awal telah hilang. Oleh itu rawatan adalah bertujuan untuk melegakan simptom.

Mengapa ini penting dalam kalangan kanak-kanak?

Kanak-kanak secara purata mendapat tiga hingga enam jangkitan saluran pernafasan setiap tahun. Walaupun kebanyakannya ringan dan boleh dirawat, ia kadangkala merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (serius, pantas atau mendadak) yang mungkin perlukan rawatan hospital, tetapi sangat jarang mengakibatkan kematian.

Bagaimanakah ARTI dirawat?

Ubat antibiotik yang diambil secara oral (melalui mulut/ditelan, biasanya dalam bentuk tablet, pil, lozeng, atau cecair) sering dipreskrib untuk ARTI, walaupun ia tidak berkesan terhadap virus. Ubat homeopati mungkin merawat ARTI dengan sedikit kesan sampingan, tetapi keberkesanan dan keselamatannya belum dikaji dengan terperinci.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada ubat homeopati membantu kanak-kanak dengan ARTI. Kami berminat dengan kesan ubat homeopati berbanding plasebo (rawatan 'dummy' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi serupa atau rasanya sama dengan ubat yang diuji) atau terapi penjagaan biasa untuk ARTI.

Kami juga berminat dengan kesan ubat homeopati memperbaik keterukan atau simptom jangkitan, keperluan untuk antibiotik, tempoh sakit (yang menjejaskan hari tidak hadir sekolah atau hari tidak bekerja bagi ibu bapa), simptom yang muncul semula, dan kesan buruk sebarang ubat.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana orang ditempatkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menyiasat sama ada ubat homeopati oral berbanding plasebo atau terapi ARTI penjagaan biasa berkesan dalam pencegahan atau rawatan ARTI dalam kalangan kanak-kanak berumur. sehingga 16 tahun. Kami membanding dan merumus keputusan kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apa yang kami temui?

Kami temui 11 kajian melibatkan 1813 kanak-kanak (5 kajian untuk pencegahan dan 6 kajian untuk rawatan ARTI). Semua kajian menyiasat jangkitan saluran pernafasan (dari hidung ke saluran udara (trakea)), tetapi satu kajian menggabungkan pelaporan saluran pernafasan atas dan bawah (dari saluran udara ke paru-paru dan pleura (membran yang meliputi paru-paru)), jadi nombor kanak-kanak dengan ARTI atas atau bawah adalah tidak diketahui.

Keputusan utama

Bagi rawatan atau pencegahan ARTI dalam kalangan kanak-kanak, ubat homeopati menunjukkan sedikit atau tiada kesan bermanfaat sama ada secara individu oleh homeopati terlatih atau terapi homeopati komersial standard (11 kajian, 1813 kanak-kanak).

Di mana keputusan-keputusan boleh digabung, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan untuk penyembuhan jangka pendek (2 kajian, 155 peserta) atau penyembuhan jangka panjang (2 kajian, 155 peserta), tetapi bukti sangat tidak pasti. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan untuk pencegahan ARTI (3 kajian, 735 peserta).

Tiada perbezaan penting antara kumpulan homeopati dan plasebo untuk ibu bapa tidak hadir bekerja, penggunaan antibiotik, atau kejadian buruk. Kami tidak pasti tentang keselamatan ubat homeopati kerana data tentang kejadian buruk tidak dilaporkan dengan baik. Secara keseluruhan, penemuan ulasan ini tidak menyokong penggunaan produk perubatan homeopati untuk ARTI dalam kalangan kanak-kanak.

Apakah batasan bukti?

Kami sedikit yakin terhadap bukti kerana kajian hanya melibatkan sebilangan kecil kanak-kanak, menggunakan pelbagai jenis ubat homeopati untuk pelbagai ARTI, terdapat banyak bias, dan kegagalan melaporkan maklumat tentang hasil penting. Penyelidikan lanjut boleh memberi keputusan yang berbeza daripada keputusan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 16 March 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information