Adakah produk ubat homeopati oral berkesan dan selamat untuk mencegah dan merawat jangkitan saluran pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak?

Soalan ulasan

Kami menyiasat sama ada produk ubat homeopati oral berkesan dan selamat untuk mencegah atau merawat jangkitan saluran pernafasan akut (ARTI) dalam kalangan kanak-kanak berbanding dengan rawatan yang tidak aktif (plasebo) atau ubat-ubatan lain.

Latar belakang

Kebanyakan jangkitan pernafasan sembuh tanpa rawatan, tetapi kadang kala gejala berterusan selepas jangkitan awal hilang. Oleh itu rawatan adalah bertujuan untuk melegakan gejala. Jangkitan pernafasan lazimnya disebabkan oleh virus, terutamanya selesema, walaupun beberapa jangkitan paru-paru dan telinga adalah disebabkan oleh bakteria. Mungkin sukar untuk membezakan antara jangkitan virus dan bakteria, dan kedua-duanya mungkin wujud bersama. Antibiotik sering dipreskrib untuk jangkitan pernafasan walaupun ia tidak berkesan terhadap virus.

Kanak-kanak mempunyai purata tiga hingga enam jangkitan saluran pernafasan setiap tahun. Walaupun kebanyakannya ringan dan boleh dirawat, mereka kadang kala memerlukan rawatan di hospital, dan sangat jarang menyebabkan kematian.

Homeopati mungkin merawat jangkitan pernafasan dengan sedikit kesan sampingan, tetapi keberkesanan dan keselamatannya belum dikaji dengan baik.

Kami menilai bukti dari kajian rawak terkawal (kajian yang memperuntukkan orang secara kebetulan untuk menerima rawatan), yang merupakan cara terbaik untuk menilai keselamatan dan keberkesanan rawatan perubatan.

Tarikh carian

Bukti kami adalah terkini sehingga 27 November 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian yang melibatkan 1562 kanak-kanak yang membandingkan rawatan homeopati oral dengan sama ada plasebo atau rawatan standard untuk mencegah atau merawat jangkitan pernafasan dalam kalangan kanak-kanak. Semua kajian menyiasat jangkitan saluran pernafasan (dari hidung ke saluran udara (trakea)), tetapi satu pelaporan gabungan saluran pernafasan atas dan bawah (dari saluran udara ke paru-paru dan pleura (membran yang meliputi paru-paru)), jadi nombor kanak-kanak dengan jangkitan atas atau bawah adalah tidak diketahui.

Sumber pembiayaan kajian

Tiga kajian menerima pembiayaan daripada pengilang homeopati; satu melaporkan sokongan dari organisasi bukan kerajaan; dua menerima sokongan kerajaan; satu telah ditaja bersama oleh sebuah universiti; dan satu tidak melaporkan sokongan pembiayaan.

Keputusan utama

Kajian-kajian tersebut menyelidik pelbagai intervensi untuk pelbagai penyakit dan populasi menggunakan ukuran-ukuran hasil yang berlainan, oleh tiu hanya sebilangan kecil kajian dapat digabungkan untuk analisis. Semua kajian yang berkualiti sederhana (risiko bias rendah) menunjukkan sedikit atau tiada kesan yang bermanfaat untuk produk ubat homeopati, sama ada secara individu oleh ‘homeopath’ terlatih atau terapi standard tidak bersifat individu yang boleh didapati secara komersial. Di mana keputusan boleh digabungkan, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan manfaat dalam penawar jangka pendek atau jangka panjang, atau dalam pencegahan ARTI.

Dua kajian yang berkualiti rendah (berisiko bias tidak jelas atau berisiko bias tinggi) menunjukkan beberapa manfaat produk ubat homeopati untuk bilangan hasil yang terhad. Satu kajian menunjukkan pengurangan keterukan penyakit untuk kumpulan homeopati pada beberapa titik masa. Kajian lain menunjukkan pengurangan bilangan jangkitan pernafasan pada tahun berikutnya dalam kumpulan rawatan, walaupun lebih daripada satu perempat peserta tidak diambil kira bagi keputusannya. Tiada perbezaan antara kumpulan homeopati dan plasebo untuk masa kerja ibu bapa, penggunaan antibiotik, atau kesan buruk. Oleh itu, tiada bukti yang meyakinkan bahawa produk ubat homeopati berkesan dalam merawat ARTI dalam kalangan kanak-kanak. Kami tidak pasti tentang keselamatan kerana data mengenai kejadian buruk tidak dilaporkan dengan baik.

Kualiti bukti

Kami menilai bukti sebagai berkualiti sederhana atau rendah untuk kebanyakan hasil. Tiga hasil menyediakan kualiti bukti yang sangat rendah kerana populasi dan hasil kajian ketara berbeza antara kajian-kajian; terdapat batasan yang ketara dalam reka bentuk dan pelaporan kajian; dan saiz sampel adalah kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save