Probiotik untuk rawatan kolitis ulseratif aktif

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada probiotik boleh menyebabkan remisi bagi pesakit kolitis ulseratif. Kami menganalisa maklumat dari 14 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Probiotik mungkin lebih baik bagi menggalakkan remisi berbanding plasebo (rawatan dummy). Adalah tidak jelas sama ada pengunaan probiotik adalah lebih baik berbanding asid 5-aminosalisilat (5-ASA, agen anti-radang yang digunakan untuk merawat penyakit radang usus), namun, terdapat bukti yang terhad bahawa apabila kedua-dua rawatan ini digunakan sebagai terapi gabungan ia mungkin lebih baik dari pengunaan 5-ASA sahaja untuk menggalakkan remisi. Kebanyakan kajian melaporkan tiada kesan buruk yang serius berlaku. Bagi kajian yang melaporkannya, tiada kesan buruk yang serius berlaku dalam kalangan kumpulan probiotik. Kesan buruk yang kecil yang dilaporkan adalah kembung dan cirit-birit.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kolitis ulseratif adalah penyakit remisi yang berulang. Ia menyebabkan radang pada usus besar yang mengakibatkan gejala-gejala seperti sakit perut, cirit-birit dan keletihan. Terdapat bukti yang mencadangkan bahawa ketidak seimbangan bakteria di dalam usus yang mengakibatkan penyakit ini, maka probiotik iaiatu mikro-organisma hidup, boleh mengubah bakteria tersebut dan kemungkinan mengurangkan radang.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami mencari ujian terkawal rawak (RCTs; kajian klinikal di mana pesakit dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan probiotik dengan plasebo, probiotik dengan 5-ASA, dan gabungan probiotik dan 5-ASA. Kami menjumpai 14 RCT yang melibatkan 865 peserta. Peserta dalam kajian ini melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak. Lapan kajian membenarkan terapi tambahan untuk diteruskan, manakala empat kajian lain tidak jelas mengenai perkara ini.

1) Probiotik boleh memperbaiki induksi remisi klinikal apabila dibandingkan dengan plasebo.

2) Adalah tidak jelas sama ada probiotik mengakibatkan perbezaan dalam kesan buruk (kecil dan serius) apabila dibandingkan dengan plasebo.

3) Terdapat bukti yang terhad untuk menentukan sama ada probiotik menawarkan penambahbaikan bagi penyakit ini berbanding dengan plasebo.

4) Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam induksi remisi dengan probiotik apabila dibandingkan dengan 5-ASA (bukti rendah-kepastian).

5) Terdapat bukti yang terhad untuk menyarankan bahawa apabila probiotik digabungkan dengan 5-ASA dibandingkan dengan 5-ASA sahaja, probiotik mungkin boleh memberi peluang yang sedikit lebih baik bagi induksi remisi. Ini adalah berdasarkan bukti rendah-kepastian dari satu kajian dan kami tidak pasti tentang kaedah remisi yang dikaji.

6) Kesan buruk yang serius dilaporkan apabila probiotik dibandingkan dengan plasebo, tetapi ia hanya berlaku dalam kumpulan plasebo.

Kesimpulan

Walaupun bukti menyarankan bahawa probiotik adalah lebih baik bagi memperbaiki induksi berbanding plasebo, keyakinan kami untuk membuat anggaran adalah terhad kerana bukti-kepastian adalah rendah. Ini adalah disebabkan oleh bilangan perserta yang terlibat dalam setiap kajian adalah kecil dan kaedah yang digunakan dalam kajian-kajian adalah tidak boleh dipercayai. Dengan bukti yang ditampilkan dalam kajian-kajian ini, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh tentang keberkesanan probiotik; kajian yang mempunyai reka bentuk yang lebih baik dan yang melibatkan lebih ramai peserta adalah diperlukan.

Adakah ulasan ini dikemaskini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save