Probiotik untuk mencegah enterokolitis nekrotik dalam bayi yang sangat pramatang atau dengan berat badan yang sangat rendah ketika lahir

Soalan ulasan
Adakah pemberian probiotik kepada bayi yang sangat pramatang atau berat badan yang sangat rendah ketika lahir mencegah enterokolitis nekrotik?

Latar belakang
Bayi yang sangat pramatang (lahir lapan minggu lebih awal) dan berat yang sangat rendah ketika lahir (kurang daripada 1.5 kg) adalah berisiko mengalami gangguan usus yang teruk, di mana sebahagian usus menjadi radang, dijangkiti dan mati, yang disebut enterokolitis nekrotik. Keadaan ini dikaitkan dengan kematian, jangkitan serius dan kecacatan jangka panjang dan masalah perkembangan. Salah satu cara untuk membantu mencegah enterokolitis nekrotik dan keadaan yang berkaitan adalah dengan menambahkan probiotik (makanan tambahan yang mengandungi bakteria atau ragi yang berpotensi bermanfaat) ke dalam susu.

Ciri-ciri kajian
Carian adalah terkini sehingga 18 Februari 2020. Kami menemui 56 kajian, dengan, secara keseluruhan, lebih daripada 10,000 peserta bayi. Kajian kebanyakannya kecil, dan ada yang mempunyai kelemahan reka bentuk yang mungkin mempengaruhi penemuan mereka.

Keputusan utama
Analisis gabungan menunjukkan bahawa pemberian probiotik kepada bayi yang sangat pramatang dan berat badan sangat rendah ketika lahir dapat mengurangkan risiko enterokolitis nekrotik, dan mungkin mengurangkan risiko kematian dan jangkitan serius. Tidak ada bukti tentang kesan terhadap hasil kecacatan atau perkembangan. Beberapa kajian memberikan data untuk bayi yang sangat pramatang (lahir awal lebih daripada 12 minggu) dan berat yang sangat rendah ketika lahir (kurang daripada 1.0 kg), dan analisis ini tidak menunjukkan kesan pada nekrotik enterokolitis, kematian dan jangkitan serius.

Kepastian bukti
Bukti mengenai kesan terhadap enterokolitis nekrotik adalah "berkepastian rendah" kerana kebimbangan bahawa kesannya mungkin berat sebelah oleh kajian-kajian kecil yang menggunakan kaedah yang tidak boleh dipercayai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information