Saringan untuk kencing manis jenis 2 (type 2 diabetes mellitus)

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan kesihatan daripada menjalani saringan berbanding tiada saringan untuk kencing manis jenis 2?

Latar belakang

Kencing manis jenis dua (type 2 diabetes mellitus) ialah gangguan metabolik yang dicirikan oleh paras gula dalam darah yang tinggi yang boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi seperti penyakit buah pinggang dan mata. Penyakit ini boleh bermula pada mana-mana usia tetapi biasanya memuncak dalam kalangan orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas dan boleh dirawat pada peringkat awalnya melalui diet dan senaman. Kencing manis jenis 2 mungkin mempunyai tiada atau sedikit gejala pada peringkat awalnya dan dengan demikian mungkin tidak dikesan. Saringan dalam kalangan orang yang kelihatan sihat boleh menbawa kepada pengesanan awal diabetes mellitus jenis 2 dan rawatannya serta dapat mencegah atau melambatkan perkembangan komplikasi yang berkenaan.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai satu kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang mana para peserta dimasukkan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) di mana 20,184 individu berisiko tinggi dari 33 buah klinik di Timur England telah sama ada dijemput atau tidak untuk menjalani pemeriksaan saringan untuk kencing manis jenis 2 (kajian ADDITION-Cambridge). Peserta yang layak mesti mempunyai skor risiko kencing manis yang tinggi tetapi tidak pernah menerima diagnosis kencing manis. Skor risiko kencing manis untuk mengenal pasti individu yang berisiko tinggi terdiri daripada pemboleh ubah yang berkaitan dengan usia, jantina, indeks jisim badan (body mass index, BMI), dan penggunaan ubat steroid preskripsi serta ubat untuk tekanan darah tinggi. Klinik-klinik layak untuk menyertai kajian jika mereka dapat memberikan data untuk pengiraan skor risiko untuk sekurang-kurangnya 70% daripada pesakit mereka. Sebanyak 11,737 peserta menghadiri saringan secara langsung, dan 4137 peserta mewakili kumpulan yang tidak disaring. Dalam kedua-dua kumpulan, 36% daripada peserta merupakan wanita; usia purata peserta ialah 58.2 tahun dalam kumpulan saringan dan 57.9 tahun dalam kumpulan yang tidak disaring. Hampir separuh daripada peserta dalam kedua-dua kumpulan menggunakan ubat untuk tekanan darah tinggi.

Bukti ini adalah terkini sehingga Mei 2019.

Keputusan utama

Kami tidak pasti mengenai kesan saringan kencing manis jenis 2 pada kematian akibat sebarang punca dan kematian akibat kencing manis (satu-satunya hasil kajian yang penting untuk ulasan kami yang mana penulis kajian memberikan data yang boleh dipercayai). Kajian yang disertakan tidak melaporkan kesan sampingan saringan, kes baru kencing manis jenis 2, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, hemoglobin glikosilasi A1c (HbA1c) sebagai ukuran jangka panjang kawalan glukosa, dan kesan sosioekonomi (seperti kos saringan, penggunaan ubat-ubatan, bilangan rundingan).

Kepastian bukti

Kami berdasarkan kepastian bukti hanya pada satu kajian. Kepastian keseluruhan hasil kajian ini rendah, kerana hasilnya tidak tepat, di mana arah tuju keputusan boleh bertukar sekiranya terdapat kajian baru yang diterbitkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Joo Howe Ong. Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save