Ubatan untuk rawatan akut migrain dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Latarbelakang dan soalan ulasan

Migrain adalah gangguan yang sakit dan melemahkan yang lazim dalam kalangan kanak-kanak (di bawah umur 12 tahun) dan remaja (berumur 12 hingga 17 tahun). Tanda-tanda yang biasa dilaporkan semasa serangan migrain ialah sakit kepala, loya, muntah, dan sensitif kepada cahaya dan bunyi. Terdapat banyak rawatan untuk migrain, yang paling lazim ialah parasetamol (juga dikenali sebagai asetaminofen), ibuprofen dan lain-lain antikeradangan dan triptan. Tidak semua ubatan triptan diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak atau remaja, dan kelulusannya berbeza dari negara ke negara.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan kami, kami melihat 27 kajian rawak terkawal ubatan berbanding plasebo untuk mengetahui rawatan mana yang berkesan untuk memberikan kebebasan sakit dua jam selepas rawatan. Kami juga ingin mengetahui kesan sampingan yang mungkin disebabkan oleh rawatan. Seramai 7630 kanak-kanak menerima ubatan dalam kajian tersebut. Bukti ini adalah terkini sehingga Februari 2015. Setiap kajian mempunyai antara 13 dan 888 peserta. Purata umur mereka adalah 12.9 tahun dan julat 8.2 hingga 14.7 tahun. Sembilan belas daripada kajian tersebut dibiayai oleh pengilang ubat.

Keputusan utama

Ibuprofen berkesan dalam rawatan kanak-kanak dengan migrain, tetapi bukti adalah terhad kepada hanya dua kajian kecil. Ibuprofen mudah didapati dan murah, menjadikannya pilihan pertama yang baik untuk rawatan migrain. Parasetamol tidak menunjukkan ia berkesan untuk menghilangkan sakit pada kanak-kanak, tetapi kita hanya mendapati satu kajian kecil. Triptan adalah sejenis ubat yang direka khusus untuk merawat migrain dan sering berkesan untuk memberikan kebebasan sakit yang lebih besar dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Triptan yang diberi kepada kanak-kanak termasuk rizatriptan dan sumatriptan, manakala almotriptan, eletriptan, naratriptan, rizatriptan, sumatriptan dan zolmitriptan telah digunakan dalam kalangan remaja. Kombinasi sumatriptan dan natrium naproxen juga berkesan merawat remaja dengan migrain. Secara keseluruhan, terdapat risiko bahawa ubatan triptan boleh menyebabkan kesan sampingan kecil yang tidak diingini seperti gangguan rasa, gejala hidung, pening, keletihan, tenaga yang rendah, rasa loya atau muntah-muntah. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sebarang kesan sampingan yang serius.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti yang dikemukakan oleh ulasan adalah sederhana untuk triptan, tetapi rendah untuk parasetamol dan ibuprofen, kerana kami cuma dapat mengenalpasti beberapa kajian. Lebih banyak kajian diperlukan melihat kesan setiap satu daripada rawatan migrain dalam kanak-kanak dan remaja secara berasingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information