Adakah bupivacaine yang lebih tumpat berbanding normal, yang diberi sebagai suntikan di bahagian belakang, memberi anestesia yang lebih berkesan dan selamat semasa pembedahan caesarean

Latar belakang: Bupivacaine, sejenis ubat pelega sakit, digunakan semasa pembedahan caesarean menerusi suntikan di bahagian belakang. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas menggunakan bupivacaine hiperbarik (lebih tumpat daripada cecair spinal) lebih atau kurang berkesan dalam melegakan sakit berbanding bupivacaine isobarik (ketumpatan sama dengan cecair spinal). Ulasan Cochrane ini meringkaskan bukti terbaik yang sedia ada bagi keberkesanan dan keselamatan bupivacaine jenis lebih tumpat berbanding jenis isobarik apabila anestesia spinal (suntikan ubatan ke dalam bahagian belakang) digunakan untuk melahirkan bayi menerusi pembedahan caesarean.

Ciri-ciri kajian: Bukti adalah terkini sehingga Mac 2016. Kami menemui 10 kajian klinikal yang menilai dua jenis bupivacaine tersebut, melibatkan 614 wanita. Kajian-kajian tersebut menilai kesan-kesan berikut bagi dua jenis ubat tersebut: wanita yang perlu menukar kepada anestesia umum, ubat tambahan untuk melegakan sakit atau tekanan darah rendah, mengalami loya dan muntah, sakit kepala dan kebas berlebihan. Kami mendapati kesemua kajian telah dijalankan dengan betul. Tiada kajian yang melaporkan sumber dana. Kami menanti respon daripada penulis-penulis dua lagi kajian, dan akan melaporkannya apabila mengemaskini ulasan seterusnya.

Keputusan utama: Kami mendapati tiada cukup bukti untuk memastikan sama ada bupivacaine lebih tumpat atau yang normal lebih berkesan dalam mengurangkan keperluan untuk: a) menukar kepada anestesia umum; b) tambahan ubat pelega sakit. Bupivacaine yang lebih tumpat mempunyai permulaan yang lebih cepat dalam melegakan sakit.

Kualiti bukti: Akibat perbezaan di antara kajian-kajian yang disertakan dalam dos yang diberi, variasi ubat tambahan yang diguna untuk kelegaan sakit, variasi teknik anestesia sebahagian dan jumlah peserta yang kecil, kami menilai kualiti bukti keseluruhan untuk pelbagai hasil adalah sangat rendah hingga sederhana, kerana sangat sedikit wanita mengalami peristiwa yang tidak diingini dalam kesemua kajian.

Kesimpulan: Kami menyimpulkan jenis yang lebih tumpat memberi kelegaan sakit lebih cepat berbanding jenis normal. Lebih banyak penyelidikan diperlukan bagi memastikan keberkesanan jenis yang lebih tumpat bagi hasil-hasil yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information