Bolehkah profesional pergigian membantu orang berhenti merokok atau mengguna produk tembakau?

Menjaga kesihatan mulut anda

Tembakau boleh dihisap, dikunyah atau dihidu (seperti sedut). Perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh orang yang mengguna produk tembakau untuk kesihatan mereka adalah berhenti menggunakannya. Ini menurunkan risiko kanser paru-paru dan penyakit lain, termasuk kanser mulut dan penyakit gusi.

Ramai orang melawat profesional pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun; mungkin ada yang melawat lebih kerap. Profesional pergigian dapat memotivasi orang untuk berhenti mengguna tembakau dengan memberitahu tentang risiko kesihatan dan manfaat kesihatan jika berhenti. Profesional pergigian termasuk:

· doktor gigi;

· juruhigin pergigian;

· ahli terapi pergigian; dan

· jururawat pergigian (disebut sebagai pembantu pergigian di beberapa negara).

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu sama ada profesional pergigian dapat membantu orang berhenti mengguna tembakau dengan memberi nasihat dan sokongan. Kami juga ingin tahu jika sokongan profesional pergigian mempunyai kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menguji sama ada nasihat dan sokongan profesional pergigian membantu orang berhenti merokok, mengunyah atau menghidu tembakau.

Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana orang-orang yang mengambil bahagian diletakkan dalam kumpulan rawatan yang berbeza menggunakan peluang untuk memutuskan orang mana yang mendapat sokongan untuk berhenti mengguna tembakau. Kajian jenis ini biasanya memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan hingga Februari 2020.

Apakah yang kami temui

Kami menemui 20 kajian dengan 14,897 orang yang mengguna produk tembakau (merokok, mengunyah atau menyedut tembakau). Kajian-kajian berlangsung di AS (13 kajian), UK (dua kajian), Sweden (dua kajian), Jepun (satu kajian), Malaysia (satu kajian) dan India (satu kajian). Kebanyakan kajian (16) dilaksana di klinik pergigian dan empat kajian di sekolah atau kolej.

Semua kajian mengguna program tingkah laku untuk membantu orang berhenti mengguna tembakau; program-program ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan memberi nasihat untuk berhenti. Empat kajian juga menawarkan terapi penggantian nikotin (NRT) atau e-rokok serta program tingkah laku.

Sembilan belas kajian dibiaya oleh agensi kerajaan atau universiti; satu kajian melaporkan tiada pembiayaan.

Untuk setiap jenis program tingkah laku yang diuji, kajian mengukur berapa ramai orang berhenti merokok atau mengguna produk tembakau untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

Di dalam semua kajian, kesan menerima sokongan tingkah laku daripada profesional pergigian dibandingkan dengan:

· penjagaan biasa (kajian-kajian tidak menyatakan apa yang disertkan);

· tiada sokongan atau nasihat;

· nasihat ringkas berhenti merokok untuk memperbaik kesihatan; atau

· bentuk sokongan tingkah laku kurang aktif.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Program tingkah laku yang melibatkan profesional pergigian dan NRT atau e-rokok mungkin membantu lebih ramai orang berhenti merokok. Secara purata, 74 daripada 1000 orang berhenti berbanding 27 dari 1000 orang yang tidak menerima sokongan tingkah laku (bukti dari empat kajian dalam 1221 orang).

Beberapa sesi program tingkah laku yang melibatkan profesional pergigian dapat membantu orang berhenti mengguna tembakau. Secara purata, 106 daripada 1000 orang berhenti berbanding 56 daripada 1000 orang yang tidak menerima sokongan tingkah laku (tujuh kajian; 2639 orang).

Satu sesi program tingkah laku juga dapat membantu orang berhenti: secara purata, 45 dari 1000 orang berhenti berbanding 24 dari 1000 orang yang tidak menerima sokongan tingkah laku (empat kajian; 6328 orang).

Kami tidak pasti tentang kesan nasihat dan sokongan daripada profesional pergigian dalam persekitaran selain dari amalan pergigian (seperti di sekolah atau kolej), kerana kajian yang mengujinya terlalu kecil untuk menunjukkan kesan boleh percaya (tiga kajian; 1020 orang ).

Kami tidak pasti jika program tingkah laku yang diberi oleh profesional pergigian mempunyai kesan yang tidak diingini, kerana hanya satu kajian melaporkan maklumat ini.

Keyakinan terhadap keputusan kami

Kami sederhana yakin tentang manfaat sokongan daripada profesional pergigian beserta NRT atau e-rokok. Kami kurang yakin akan manfaat satu, atau beberapa sesi sokongan tingkah laku dari profesional pergigian.

Kami mendapati kelemahan dalam bukti. Sesetengah kajian hanya bertanya kepada orang jika mereka berhenti mengguna tembakau, dan tidak menggunakan ujian - seperti menguji nafas atau air liur - untuk mengetahui jika telah berhenti. Sesetengah kajian tidak menerangkan dengan jelas perlaksanaan kajian, bagaimana orang diletakkan dalam kumpulan yang berbeza. Dalam beberapa kajian, lebih separuh orang tercicir sebelum kajian tamat.

Keputusan kami mungkin berubah setelah lebih banyak bukti tersedia.

Mesej-mesej utama

Nasihat dan sokongan profesional pergigian yang melibatkan NRT atau e-rokok lebih cenderung untuk membantu orang berhenti merokok.

Satu sesi atau multipel sesi nasihat dan sokongan boleh membantu orang berhenti merokok atau mengguna produk tembakau.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (Persatuan Penterjemah Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save