Nitrik oksida yang disedut untuk merawat tekanan darah tinggi pada saluran pulmonari selepas pembedahan pada bayi dan kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang keberkesanan nitrik oksida yang disedut untuk rawatan tekanan darah tinggi dalam saluran pulmonari pada bayi dan kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit jantung.

Latar belakang

Hipertensi pulmonari (PH) ialah peningkatan tekanan darah dalam saluran pulmonari yang menjejaskan pelbagai populasi pesakit dan boleh menyebabkan kesihatan yang lemah dan sejumlah besar kematian. PH boleh mengurangkan fungsi jantung dan mencetuskan krisis yang mengancam nyawa. Penyakit jantung kongenital (CHD) adalah kecacatan struktur jantung yang wujud semasa lahir, dan selalunya sebelum kelahiran. PH mungkin timbul kerana aliran darah pulmonari meningkat dan tekanan arteri pulmonari meningkat secara berterusan, atau berikutan penggunaan pintasan kardiopulmonari semasa pembedahan pembaikan. Nitrik oksida yang disedut (iNO) ialah terapi yang menyebabkan pengurangan terpilih dalam tekanan darah tinggi saluran pulmonari tanpa menurunkan tekanan darah di seluruh badan dan, oleh itu, mungkin mempunyai manfaat rawatan pada kanak-kanak dengan penyakit jantung. Dalam ulasan ini, kami berhasrat untuk menilai faedah dan kemudaratan menggunakan iNO untuk pengurusan pasca pembedahan PH pada kanak-kanak dengan CHD.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2013. Kami menemui empat kajian rawak klinikal melibatkan 210 peserta berumur dari satu hari hingga 17 tahun dengan PH sama ada dalam tempoh pra pembedahan (satu kajian) atau pasca pembedahan (tiga kajian). Kumpulan kawalan menerima terapi pengurusan konvensional (dua kajian) atau gas nitrogen sebagai plasebo (dua kajian). Dua kajian membandingkan perubahan dalam tekanan darah arteri sistemik dan pulmonari dan kadar denyutan jantung (hemodinamik). Dua lagi kajian membandingkan bilangan krisis hipertensi pulmonari dan kematian, dengan perubahan dalam pengukuran hemodinamik sebagai hasil sekunder.

Keputusan utama

Kami menemui tiada perbezaan antara kumpulan pesakit yang menerima iNO dan mereka yang tidak. Dua kajian melaporkan kematian sebelum discaj, dengan tiada satu pun berlaku dalam kajian satu lagi. Kami perhatikan tiada perbezaan dalam bilangan kematian (dua kajian); krisis hipertensi pulmonari (satu kajian); perubahan dalam purata tekanan arteri pulmonari (tiga kajian), tekanan arteri (tiga kajian), atau kadar denyutan jantung (HR) (tiga kajian); atau perubahan dalam pengoksigenan darah (satu kajian). Walau bagaimanapun, tiada kajian melaporkan jangka panjang tentang kematian atau kecacatan perkembangan saraf. Di samping itu, tiada data tersedia untuk analisis tempoh tinggal di hospital.

Walaupun iNO telah dikaji sebagai terapi selepas pembedahan pada kanak-kanak dengan penyakit jantung untuk membantu pemulihan, ulasan ini tidak menunjukkan faedah dengan penggunaannya.

Kualiti bukti

Dua kajian mempunyai risiko berat sebelah yang rendah. Kualiti bukti, bagaimanapun, sangat rendah kerana bilangan peserta yang kecil dan kadar kejadian yang rendah. Semua kajian menggunakan kepekatan iNO yang berbeza, tempoh pemberian berbeza yang dimulakan pada masa yang berbeza selepas pembedahan, dan memasukkan pesakit dengan pelbagai kecacatan jantung kongenital yang memerlukan pembaikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information