Asid lemak omega-3 untuk kemurungan dalam kalangan orang dewasa

Mengapakah ulasan ini penting?

Gangguan kemurungan utama (MDD) dicirikan oleh mood tertekan atau keseronokan atau minat yang berkurangan dengan ketara dalam semua aktiviti, atau kedua-duanya. Gangguan ini memberikan impak negatif pada individu dan masyarakat, seringkali dalam jangka masa panjang. Satu rawatan yang mungkin untuk MDD ialah asid lemak tak tepu n-3 (n-3PUFA), juga dikenali sebagai minyak omega-3, secara semula jadi ditemui dalam ikan berlemak, dalam beberapa makanan laut yang lain dan dalam beberapa kacang dan biji. Pelbagai bukti menunjukkan bahawa n-3PUFA boleh memberi kesan pada gejala kemurungan, tetapi banyak kajian mempunyai penemuan yang berbeza, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Profesional kesihatan, termasuk doktor perawatan am dan pakar psikiatri; individu dengan MDD; dan orang sekitar mereka.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Adakah n-3PUFA, berbanding dengan alternatif, mempunyai kesan pada gejala kemurungan, kesan sampingan negatif, kadar pemulihan, kualiti hidup, dan kadar kajian yang tidak tamat, dalam kalangan individu dengan MDD?

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

Ulasan ini adalah kemas kini kerja terdahulu (Appleton 2015), menggunakan kaedah yang sama. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk semua kajian rawak terkawal pada orang dewasa dengan MDD, di mana individu menerima sama ada n-3PUFA atau alternatif, yang telah diselesaikan sehingga Januari 2021.

Kami memasukkan 35 kajian yang berkaitan: 34 daripadanya melibatkan 1924 orang membandingkan kesan n-3PUFA dengan plasebo, dan satu kajian melibatkan 40 orang membandingkan kesan n-3PUFA dengan antidepresan. Semua kajian mempunyai kaitan langsung dengan ulasan kami, tetapi kami menganggap kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah.

Apakah bukti daripada ulasan memberitahu kami?

Pada masa ini, kami tidak mempunyai bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menentukan kesan n-3PUFA sebagai rawatan untuk MDD. Kami menemui kesan positif kecil hingga sederhana n-3PUFA berbanding plasebo, tetapi saiz kesan ini tidak mungkin bermakna pada orang dengan MDD, dan kami menganggap bukti adalah berkepastian rendah atau sangat rendah, dengan banyak perbezaan antara kajian. Terdapat juga bukti berkualiti tinggi yang tidak mencukupi untuk menentukan kesan n-3PUFA pada kesan sampingan negatif atau bilangan yang tidak menyelesaikan kajian.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Kami memerlukan lebih banyak bukti, terutamanya untuk menjelaskan perbezaan antara penemuan kajian, contohnya dengan melihat individu yang mungkin atau mungkin tidak mendapat manfaat daripada n-3PUFA. Kajian masa depan juga harus membandingkan n-3PUFA dengan rawatan antidepresan biasa, dan menyiasat cara rawatan ini boleh berfungsi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information