Model penjagaan kesinambungan yang diterajui oleh bidan berbanding dengan model penjagaan lain untuk wanita semasa mengandung, kelahiran dan keibubapaan awal

Apakah isunya?

Terdapat beberapa cara untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan wanita dan bayi semasa mengandung, kelahiran dan selepasnya – cara ini dipanggil 'model penjagaan'. Kadangkala, pakar obstetrik atau doktor lain adalah ahli profesional penjagaan kesihatan utama dan pada masa lain ia adalah bidan. Kadang-kadang, tanggungjawab itu dikongsi antara pakar perbidanan dan bidan. Salah satu model itu dipanggil 'model kesinambungan yang diketuai oleh bidan'. Di sini bidan adalah profesional utama bermula dari janji temu tempahan awal, sehingga dan termasuk hari-hari awal keibubapaan. Kami ingin mengetahui sama ada wanita dan bayi menjadi lebih baik dengan model kesinambungan yang diterajui oleh bidan ini, berbanding dengan model lain.

Mengapa ini penting?

Model kesinambungan yang diketuai oleh bidan menyediakan penjagaan daripada bidan atau pasukan bidan yang sama semasa kehamilan, kelahiran dan tempoh keibubapaan awal, dan ramai wanita menghargai model ini. Bidan-bidan ini juga melibatkan penyedia penjagaan lain jika mereka diperlukan. Model yang diketuai oleh pakar perbidanan atau yang diketuai oleh doktor keluarga biasanya tidak dapat menyediakan bidan/bidan-bidan yang sama sepanjang masa. Kami perlu tahu sama ada model kesinambungan yang diketuai oleh bidan adalah selamat, dan jika ia membawa manfaat kepada ibu dan bayi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mengenal pasti 15 kajian melibatkan 17,674 ibu dan bayi (tarikh carian 25 Januari 2016). Kami menyertakan wanita yang berisiko rendah mengalami komplikasi serta wanita yang berisiko tinggi, tetapi tidak mengalami masalah pada masa ini. Semua ujian melibatkan bidan yang berkelayakan profesional dan tiada kajian yang memasukkan model penjagaan yang menawarkan kelahiran di rumah. Kami menggunakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menilai kualiti bukti dan melihat tujuh hasil utama: kelahiran pramatang (kelahiran sebelum minggu 37 kehamilan); risiko kehilangan bayi semasa mengandung atau pada bulan pertama selepas kelahiran; kelahiran spontan melalui vagina (apabila bersalin tidak diinduksi dan kelahiran tidak dibantu dengan forsep; kelahiran caesar; kelahiran vagina instrumental (kelahiran menggunakan forceps atau ventouse); sama ada perineum kekal utuh, dan penggunaan analgesia setempat (seperti epidural).

Faedah utama adalah wanita yang menerima penjagaan berkesinambungan yang dipimpin oleh bidan kurang berkemungkinan mendapat epidural. Di samping itu, kurang wanita yang mempunyai episiotomi atau kelahiran instrumental. Peluang wanita untuk bersalin spontan melalui vagina juga meningkat dan tiada perbezaan dalam bilangan kelahiran secara caesar. Wanita kurang berkemungkinan mengalami kelahiran pramatang, dan mereka juga berisiko lebih rendah untuk kehilangan bayi mereka. Di samping itu, wanita lebih cenderung untuk dijaga semasa bersalin oleh bidan yang telah mereka kenali. Ulasan ini mengenal pasti tiada kesan buruk berbanding model lain.

Kajian-kajian telah menyumbang bukti berkualiti tinggi yang mencukupi untuk setiap hasil utama untuk memberikan kami hasil yang boleh dipercayai untuk setiap satu. Kami yakin dengan munasabah bahawa kajian masa depan akan menemui hasil yang serupa untuk hasil ini.

Apakah maksudnya?

Kebanyakan wanita harus ditawarkan 'penjagaan berkesinambungan yang dipimpin oleh bidan'. Ia memberi manfaat untuk wanita dan bayi dan kami tidak mengenal pasti kesan buruk. Walau bagaimanapun, kami tidak boleh menganggap perkara yang sama berlaku kepada wanita yang mengalami kehamilan serius atau komplikasi kesihatan yang sedia ada, kerana wanita ini tidak termasuk dalam bukti yang dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information