Soalan ulasan
Adakah penangguhan preskripsi antibiotik berbanding dengan preskripsi segera atau tiada antibiotik mengurangkan bilangan antibiotik yang diambil untuk orang yang mengalami jangkitan saluran pernafasan (RTI) termasuk sakit tekak, jangkitan telinga tengah, batuk (bronkitis) dan selesema biasa?
Latar belakang
Mempreskrib terlalu banyak antibiotik meningkatkan risiko reaksi buruk dan menyebabkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dan meningkatkan rintangan antibakteria. Satu strategi untuk mengurangkan preskripsi antibiotik yang tidak diperlukan adalah dengan penyediaan preskripsi antibiotik, tetapi dengan nasihat untuk menangguh pengisian preskripsi. Pemberi ubat menilai antibiotik segera tidak diperlukan segera, dengan harapan simptom akan hilang tanpa antibiotiok.
Kami memasukkan semua RTI tidak kira sama ada antibiotik diindikasi atau tidak. Kami juga menilai penggunaan antibiotik, kepuasan pesakit, rintangan antibiotik, kadar perundingan semula, dan penggunaan terapi tambahan. Ini ialah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2007 dan dikemas kini pada 2010, 2013 dan 2017.
Tarikh carian
Bukti adalah terikini sehingga 25hb Mei 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkankan 12 kajian dengan jumlah 3555 peserta, dan menilai strategi mempreskrib untuk orang dengan jangkitan saluran pernafasan. Sepuluh daripada kajian tersebut membandingkan strategi menangguhkan antibiotik dengan antibiotik segera. Empat kajian membandingkan antibiotik tertangguh dengan tanpa antibiotik. Daripada 11 kajian tersebut, lima melibatkan hanya kanak-kanak (1173 peserta), dua melibatkan hanya orang dewasa (594 peserta), dan empat melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa (1761 peserta). Kajian-kajian tersebut menyiasat pelbagai jangkitan saluran pernafasan. Satu kajian yang melibatkan 405 peserta adalah baharu untuk kemaskini ini.
Sumber pendanaan kajian
Dua kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal, dua kajian tidak menerangkan sumber pembiayaan, dan baki tujuh kajian dibiayai oleh institusi negeri atau kolej pakar.
Keputusan utama
Tiada perbezaan di antara antibiotik segera, tertangguh, dan tanpa antibiotik untuk kebanyakan simptom termasuk demam, sakit, rasa tidak sihat, batuk, dan hidung berair. Perbezaan hanyalah kecil dan menyokong antibiotik segera untuk melegakan sakit, demam, dan hidung berair bagi sakit tekak; dan sakit dan rasa tidak sihat bagi jangkitan telinga tengah. Berbanding tiada antibiotik, antibiotik tertangguh memberi pengurangan kecil jangka masa sakit, demam, dan batuk berterusan dalam kalangan orang dengan selesema. Terdapat sedikit perbezaan dalam kesan sampingan antibiotik, dan tiada perbezaan signifikan dalam komplikasi.
Kepuasan pesakit adalah serupa bagi orang yang menerima antibiotik tertangguh (86% berpuas hati) berbanding antibiotik segera (91% berpuas hati), tetapi lebih daripada tanpa antibiotik (87% berbanding 82% berpuas hati). Penggunaan antibiotik adalah paling besar dalam kumpulan antibiotik segera (93%), diikuti antibiotik yang tertangguh (31%), dan tanpa antibiotik (14%).
Pada bulan pertama selepas perundingan awal, dua kajian menunjukkan peserta tidak mungkin lebih cenderung untuk kembali dan berjumpa doktor bagi kumpulan preskripsi tertangguh atau segera. Kecuali bulan pertama, satu kajian mendapati para peserta tidak lebih cenderung untuk berjumpa doktor dalam 12 bulan selepas preskripsi yang tertangguh atau segera bagi jangkitan saluran pernafasan yang lain, dan satu lagi kajian mendapati peserta lebih cenderung untuk kembali berjumpa doktor dalam tempoh 12 bulan akan datang jika mereka mendapat preskripsi segera berbanding preskripsi tertangguh.
Dua kajian melibatkan kanak-kanak dengan otitis media akut melaporkan penggunaan ubat-ubatan lain dalam kumpulan antibiotik tertangguh dan segera. Tiada perbezaan dalam penggunaan ibuprofen, parasetamol, dan titisan otik di dalam satu kajian. Dalam kajian satu lagi, kurang sudu parasetamol digunakan dalam kumpulan antibiotik segera berbanding kumpulan antibiotik tertangguh pada hari kedua dan ketiga selepas penampilan awal kanak-kanak. Tiada kajian-kajian yang menilai herba atau bentuk ubat pelengkap lain.
Tiada kajian-kajian yang menilai rintangan antibiotik.
Kepastian bukti
Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah sederhana mengikut penilaian GRADE.
Apabila doktor berasa selamat untuk tidak mempreskrib antibiotik segera, menasihatkan untuk tidak memberi antibiotik tetapi untuk kembali jika simptom tidak hilang, daripada menangguhkan antibiotik, akan mengurangkan penggunaan antibiotik. Walau bagaimanapun, kepuasan pesakit mungkin lebih tinggi apabila strategi preskripsi yang tertangguh diguna. Menggunakan strategi antibiotik tertangguh tetap akan mengurangkan penggunaan antibiotik dengan signifikan berbanding penggunaan antibiotik segera.
Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik yang hidup sebelum ini. Carian dijalankan dan disaring setiap bulan sejak Mei 2017. Pengarang ulasan telah memutuskan untuk berhenti mengekalkan ulasan ini dalam cara hidup yang sistematik kerana tahap kepastian yang munasabah telah dicapai dalam bukti sedia ada.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Dikemaskini oleh Khoo Jing Hern (Manipal University College Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my